KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi maklum balas serta perkembangan siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan saham berlandaskan syariah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sejak pendedahan dan laporan dibuat pada Mac lalu, pihaknya tidak menerima sebarang perkembangan siasatan daripada pihak berkuasa.
Justeru, katanya, beliau mewakili mangsa tertanya-tanya sekiranya terdapat sebarang tangkapan dilakukan atau kertas siasatan dihantar pada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kita mahu maklum balas daripada pihak polis, sama ada kertas siasatan itu lengkap atau ia dapat disegerakan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Hal ini kerana kerugian ditanggung mangsa bukan sedikit hingga ratusan juta dalam pelaburan yang ditawarkan skim ini yang mana pengerusi pengarah bukan eksekutif dalam kalangan individu ternama dalam institusi perbankan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Terdahulu, MHO mewakili seramai 100 mangsa menghantar permohonan representasi perkembangan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Menurut Hishamuddin, setakat ini, pihaknya menerima 500 aduan melibatkan kerugian kira-kira RM140 juta daripada mereka yang terlibat dengan skim pelaburan saham dengan pakej langganan oleh beberapa buah syarikat terkemuka tersebut.
Jelas beliau, sebahagian daripada syarikat tersebut menjanjikan pulangan dividen sebanyak empat hingga enam peratus sebulan.
“Ia dilihat sebagai tawaran janji yang tidak munasabah, malah, program langganan saham tersebut adalah tidak sah dari sudut undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang-undang.
“Permasalahan timbul apabila para pelanggan tidak menerima bayaran dividen, malah, tidak menerima pulangan modal.
“Bagaimanapun, tiada sebarang pembayaran yang dilakukan oleh syarikat tersebut dan usaha untuk menghubungi dan berjumpa Lembaga Pengarah menemui jalan buntu apabila mereka menghilangkan diri.
“Pihak kami akan menunggu maklum balas siasatan dalam tempoh 14 hari daripada JSJK sekiranya tiada jawapan dan mangsa tidak berpuas hati dengan hasil siasatan maka perkara ini akan kami bawa kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.-UTUSAN