Menteri Pendidikan kongsi visi, pencapaian Malaysia di persidangan agung UNESCO - Utusan Malaysia

Menteri Pendidikan kongsi visi, pencapaian Malaysia di persidangan agung UNESCO

FADHLINA Sidek mengetuai delegasi ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kali ke-42 di Paris, Perancis pada 7 Oktober lalu hingga semalam. - GAMBAR KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai delegasi ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kali ke-42 di Paris, Perancis pada 7 Oktober lalu hingga semalam.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, Fadhlina telah menyampaikan kenyataan negara semasa sesi perbahasan umum dan berkongsi visi serta pencapaian Malaysia dalam menjayakan agenda UNESCO.

Katanya, Fadhlina telah mengetengahkan peranan aktif Malaysia dalam mendukung UNESCO antaranya sumbangan kepakaran dan kewangan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO yang memanfaatkan lebih 7,000 peserta daripada 87 negara.

“Malaysia turut menyumbang dalam pembangunan pengetahuan menerusi Kursi UNESCO berkaitan pembelajaran masa hadapan yang disandang Malaysia.

“…serta pengiktirafan terkini UNESCO Triple Crown Site kepada Sabah dalam memelihara dan mempromosi tapak warisan dunia, biosfera dan geopark di negeri itu.

“Fadhlina turut berkongsi mengenai kesungguhan Malaysia menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid merentasi batasan kaum, agama atau status sosial.

“Ini dilakukan menerusi elemen pembangunan pendidikan berteraskan pendidikan manusiawi yang menumpukan kepada penerapan nilai dan pendekatan berorientasi insan dalam pembangunan karakter berkonsepkan Karamah Insaniah,” katanya.

Katanya, Malaysia juga mengetengahkan usaha diterajui secara bersama dengan Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam mengangkat budaya sebagai warisan kebudayaan yang diiktiraf UNESCO.

Katanya, negara-negara anggota turut disaran supaya sentiasa memupuk kepercayaan serta keharmonian sejagat selain mewujudkan kerjasama erat dan strategik dalam menangani cabaran global melalui pendekatan penyelesaian silang.

Mengulas lanjut, KPM berkata, Menteri Pendidikan turut menyertai dialog peringkat menteri berkaitan pendidikan keamanan yang dihadiri dan diadakan oleh menteri-menteri negara anggota UNESCO.

“Beliau juga mengadakan lawatan ke beberapa institusi pendidikan yang boleh dijadikan penanda aras bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Penyertaan persidangan agung ini membuktikan komitmen berterusan Malaysia selaku negara anggota UNESCO, membuka peluang kepada negara membuat intervensi bagi memastikan prestasi dan pencapaian Malaysia dalam bidang kompetensi UNESCO selari dengan agenda semasa global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya