TAPAH: Seramai 7,100 banduan di negeri ini menerima sumbangan makanan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak tahun ini yang disambut hari ini.
Sumbangan kepada banduan di Penjara Tapah di sini disampaikan Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Mat Rasid Ayob kepada semua 3,325 banduan di penjara itu dan 150 banduan hadir pada majlis tersebut.
Banduan di penjara itu menzahirkan rasa gembira dan syukur di atas sumbangan tersebut dan menyifatkan Sultan Nazrin berjiwa rakyat.
Seorang banduan wanita yang mahu dikenali sebagai Sha, 45, berkata, dia gembira menerima sumbangan kurniaan Sultan Nazrin kerana pertama kali dia menerima sumbangan makanan disebabkan tiada keluarga yang datang melawatnya.
“Syukur, Alhamdulillah, Tuanku Sultan Perak masih ingat kepada kami di sini.
“Perasaan terharu dan gembira yang sukar nak diungkapkan kerana kami masih ada dalam fikiran baginda, Sultan Perak.
“Menjunjung kasih Tuanku ingat pada kami,” katanya.
Menurut Sha, majlis itu memberikan semangat baru kepada dirinya yang akan bebas dalam masa dua bulan lagi setelah melakukan kesalahan berkaitan dadah.
“Majlis ini menunjukkan kami diberi peluang kedua. Saya harap selepas bebas nanti, ada peluang pekerjaan dan masyarakat dapat menerima bekas banduan seperti kami untuk meneruskan hidup,” katanya.
Sementara itu, seorang warganegara Iran yang mahu dikenali sebagai Goli, 35, berkata, dia gembira menerima kurniaan Sultan Nazrin termasuk dapat menikmati makanan yang enak pada program itu.
Goli yang telah menjalani hukuman selama 10 tahun bersama ibunya yang juga warganegara Iran berharap Sultan Nazrin dikurniakan umur yang panjang dan kesihatan yang baik.
“Saya doakan baginda dipanjangkan umur dan selalu berada di bawah rahmat-Nya,” katanya. – UTUSAN