Mengapa tunduk desakan pihak bantah RUU Kawalan Produk Merokok?

Mengapa tunduk desakan pihak bantah RUU Kawalan Produk Merokok? – Wan Ahmad Fayhsal

WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membangkitkan sikap kerajaan yang dilihat ‘tunduk’ dengan membenarkan pihak tertentu yang mendesak supaya tidak meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. 

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, RUU itu mesti dibentang segera bagi memastikan generasi pada masa akan datang tidak ketagihan dengan gejala merokok dan menghisap vape.

“Menteri Kesihatan janji akan bentangkan sebelum 30 November ini. Kami masih menunggu sidang tinggal berbaki seminggu lagi dan tidak pasti bila ia benar-benar dibentang. Ini penting untuk dibahas secara lumat dalam Dewan, kalau baru mahu bentang minggu depan, lambat. 

“Masalahnya, mengapa kerajaan tunduk dengan membenarkan kumpulan pelobi ini menekan kita seperti Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan sebagainya, sedangkan kita tahu kos terhadap negara dari segi kesihatan awam lebih besar dari cukai yang kita pungut daripada rokok dan vape.

“Takkanlah kita tidak belajar pengalaman sejarah Perang Candu di China yang memulakan fasa abad kehinaan kalaulah RUU ini tidak bergerak. Saya khuatir ramai anak muda terlibat secara tidak langsung dalam gejala ini,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini.  

RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

RUU itu dibentang bacaan pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya untuk membuat syor penambahbaikan.

Baru-baru ini, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memberi jaminan akan membentangkan RUU itu sebelum mesyuarat Dewan Rakyat berakhir pada 30 November ini. 

Pada 1 Jun lalu, dua persatuan bergabung iaitu Malaysia Vapers Alliance (MVA) dan Pusat Advokasi Rawatan Ketagihan Lanjutan (ACATA) menggesa kerajaan supaya menilai semula RUU itu jika kerajaan serius mengurangkan kemudaratan akibat penggunaan tembakau.

Pada 7 Jun lalu, Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) dan 43 persatuan di bawah gabungan itu menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbang semula pembentangan RUU berkenaan pada persidangan Parlimen kali ini.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam mesyuarat Dewan Rakyat memberi jaminan blok pembangkang akan menyokong, sekali gus meluluskannya, jika kerajaan serius membentangkannya di Dewan Rakyat.

Pada 18 November lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) negara secara konsisten menegaskan bahawa peruntukan berhubung RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 boleh dicabar di mahkamah.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dalam berkata, peruntukan RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

AGC merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal kesihatan CodeBlue bertarikh 14 November 2023 dan laporan media tempatan pada 16 November 2023.

Sebelum ini, CodeBlue mendakwa, Kabinet telah memutuskan menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU tersebut.

Pada 9 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali yang kedua ditarik balik dari dibentang oleh KKM pada 10 Oktober lalu.

Penarikan balik RUU berkenaan yang telah melepasi kajian dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen sebelum ini perlu dibentang dan diluluskan oleh Kabinet terlebih dahulu.

Pada 16 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu Utusan Malaysia, RUU itu yang ditarik balik pembentangannya pada minggu pertama mesyuarat Dewan Rakyat hanya akan dibawa semula ke Parlimen pada hujung bulan ini.

Baru-baru ini, Khairy dilaporkan tidak bersetuju dengan pendirian bahawa RUU itu atau dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasa.

Katanya, semasa RUU itu dibentang di Parlimen kali pertama dahulu, pihaknya telah diminta membuat beberapa pindaan dan satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen ditubuh dengan beliau menjadi pengerusi untuk mengkajinya.

Beliau mengulas komen Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menerusi hantaran di media sosial sebelum ini bahawa undang-undang yang tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak berperlembagaan akan membawa kerugian berjuta-juta ringgit kepada kerajaan.

Khairy memberitahu, alasan yang diberi oleh Hannah adalah lemah dan beliau tidak boleh menerimanya.

Menurutnya, RUU itu telah beberapa kali dibawa ke Kabinet dan Parlimen semasa Khairy menjadi Menteri Kesihatan sebelum disambung oleh Dr. Zaliha Mustafa dan isu tidak berperlembagaan tidak pernah berbangkit.

Khairy dalam hantaran di Instagram sebelum ini pula mendakwa dua menteri Kabinet dan seseorang yang dirujuknya sebagai “the gaffer” menghalang RUU tersebut iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya