Mekanisme Dasar Gaji Progresif tumpu tiga kriteria utama -Rafizi

Mekanisme Dasar Gaji Progresif tumpu tiga kriteria utama -Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mekanisme Dasar Gaji Progresif meliputi tiga kriteria utama iaitu syarat penyertaan, cadangan kenaikan gaji tahunan dan insentif mengikut kadar dan kumpulan pekerja.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, syarat penyertaan majikan mendaftar sebagai Majikan Gaji Progresif dirangka dengan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memandangkan majoriti pekerja yang menerima gaji rendah merupakan pekerja PMKS.

Katanya, pekerja yang layak haruslah menerima gaji bulanan tidak melebihi had gaji yang akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

“Pada tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000 dan tidak kurang daripada gaji minimum.

“Cadangan ini mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan dalam lingkungan RM1,500 dan RM4,999 merangkumi 66.6 peratus atau seramai empat juta pekerja. Had gaji yang ditetapkan ini mampu memberi liputan yang cukup luas untuk pekerja swasta menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, panduan kenaikan gaji tahunan dasar itu akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif mengikut sektor ekonomi dan kategori pekerjaan serta meliputi cadangan penentuan gaji berdasarkan gaji pokok dan kenaikan gaji bagi setiap kategori pekerjaan.

Justeru, katanya, insentif berbentuk tunai akan disediakan mengikut kadar dan kumpulan pekerja pada peringkat permulaan (entry-level) dan peringkat bukan permulaan (non-entry level).

“Bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan, sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.

“Bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan sekiranya syarikat memberi kadar kenaikan gaji tahunan berdasarkan panduan kenaikan gaji tahunan,” katanya.

Bagi peruntukan dana, katanya, pelaksanaan inisiatif di bawah dasar tersebut akan disediakan mengambil kira kemampuan kewangan.

“Insentif akan disalurkan berasaskan first come, first served, dengan mekanisme pembayaran akan diperhalusi untuk tidak membebankan syarikat bersaiz kecil, terutama PMKS,” katanya.

Katanya lagi, prestasi Majikan Gaji Progresif akan dinilai melalui sistem penarafan bintang, berdasarkan dua komponen, iaitu komponen asas dan komponen bonus.

“Tujuan sistem penilaian majikan adalah untuk membolehkan syarikat bersaing antara satu sama lain dari segi prestasi kenaikan gaji bagi mewujudkan budaya penetapan gaji yang lebih baik.

“Penarafan bintang akan dikendalikan oleh agensi yang mempunyai kredibiliti supaya keputusan penarafan bintang dapat menjadi rujukan yang diterima oleh semua pihak,” katanya.

Oleh itu, katanya, dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion, Dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja, dengan tambahan nilai keluaran dalam negeri kasar (KDNK) benar sebanyak RM3.3 bilion.

Katanya, ia juga akan memberi tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.

“Kenaikan gaji dijangka meningkatkan kuasa beli pekerja yang akan memberikan kesan pengganda kepada penggunaan dan pelaburan swasta serta memberi kesan positif dari segi peningkatan produktiviti dan pengurangan kadar pengangguran, di samping menambah baik bahagian pampasan pekerja kepada KDNK.

“Walaupun dasar ini akan meningkatkan kadar inflasi akibat peningkatan permintaan pengguna dan kuasa beli, kesan positif pertumbuhan ekonomi dilihat akan mengimbangi peningkatan kadar inflasi dalam jangka masa panjang.

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis mulai Jun 2024 melibatkan 1,000 syarikat yang akan dipilih melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor dan kesaksamaan dan penilaian impak akan dibuat terhadap keberkesanan projek rintis dan ketersediaan dasar sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya