BESUT: Majlis Daerah Besut (MDB) diminta menjalankan siasatan lanjut susulan kes runtuhan bangunan restoran setinggi tiga tingkat di sebuah resort di Pulau Perhentian, dekat sini, Khamis lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, difahamkan pembinaan bangunan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan itu.
“Kita minta MDB jalankan siasatan secara terperinci dan kita masih menunggu keputusan tersebut, sebelum ini dikatakan pemiliknya telah memohon kelulusan, namun ditolak oleh pihak berkuasa tempatan, namun tetap dibina di kawasan yang berbahaya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Azbi, pihak yang ingin membangunkan atau membina bangunan sepatutnya mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa dan bukan dilakukan secara haram.
“Ia kerana dikhuatiri dapat mengundang bahaya mahupun sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Pada Khamis lalu, bangunan restoran di sebuah resort di pulau itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi.
Dalam kejadian itu, enam buruh binaan warga asing dan seorang buruh tempatan yang ketika itu sedang tidur di tapak pembinaan yang hampir siap itu.
Empat berjaya diselamatkan orang ramai manakala dua lagi dikeluarkan pasukan SAR pada pukul 12.50 tengah hari.
Sementara itu, mayat mangsa terakhir yang dikenali sebagai Suparno pula ditemukan oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.08 petang. – UTUSAN