SUBANG JAYA: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sekali lagi telah mengharumkan nama negara Malaysia dan negeri Selangor dengan meraih anugerah emas menerusi platfom ‘48th International Convention on Quality Circles (ICQCC) 2023’ yang berlangsung pada 30 Oktober – 2 November 2023, di Beijing, China yang dikendalikan oleh China Association For Quality (CAQ).
Pasukan MBSJ yang diwakili oleh Pasukan CORP DYNAMIC daripada Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik dan Jabatan Teknologi Maklumat, MBSJ dengan projek inovasi City Performance Management System (CPMS) telah bertanding dengan 587 pasukan daripada 13 negara iaitu India, Thailand, China, Zambia, Korea, Singapura, Indonesia, Sri Lanka, Taiwan, Mauritius, Bangladesh dan FIlipina dimana Malaysia diwakili sejumlah 57 pasukan.
Projek CPMS merupakan projek inovasi unggul bagi pemantauan prestasi ‘Pelan Operasi Tahunan’ dan ‘Pelan Strategik’ pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menyokong digitalisasi tadbir urus PBT.
Projek ini juga pernah meraih Naib Johan kategori Inovasi Sosial (Penciptaaan) bagi peringkat negeri Selangor di Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2023.
Pengiktirafan diperingkat antarabangsa ini menjadi pemangkin untuk MBSJ sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) berprestasi tinggi berdasarkan ‘fungsi dan objektif organisasi’ yang berasakan output, outcome dan impak secara digital berbanding kaedah ‘manual konvensional’ dalam usaha mencapat matlamat ‘Subang Jaya Smart Vibrant City’- bandaraya yang hidup bersemangat, bertenaga, mesra, hijau dan pintar.
Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi bagi warga kerja MBSJ untuk terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi terus menjadikan MBSJ sebagai pihak berkuasa tempatan berprestasi tinggi bertaraf antarabangsa. – UTUSAN