MBPJ komited pastikan premis, tandas bersih

MBPJ komited pastikan premis, tandas bersih

AZNAN Hassan (tengah) menyampaikan anugerah kepada pemenang ketika Majlis Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih tahun 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyasarkan bertanding di  peringkat kebangsaan bagi tandas bersih sekali gus memberi perkhidmatan tandas yang baik kepada penduduk di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan berkata, beliau berharap jangkaan itu membolehkan MBPJ secara keseluruhannya dapat memberikan tandas-tandas yang baik dan bersih kepada semua penduduk di Petaling Jaya.

“Kita berharap di masa akan datang, kita pastikan bertanding pula di peringkat kebangsaan terutama untuk tandas bersih,” katanya pada Majlis Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih tahun 2023 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya.

Pada majlis itu, MBPJ memberi pengiktirafan kepada 84 pemilik premis makanan dan 27 penerima kategori tandas awam di bandar raya ini.

Kriteria pemilihan dibuat meliputi beberapa aspek termasuk kebersihan, kawalan mutu makanan, pematuhan syarat permit, persekitaran dan mesra pelanggan.

Ia dinilai panel juri terdiri daripada pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan dalaman MBPJ.

Mengenai pengiktirafan itu, Aznan berkata, ia diberikan bagi menghargai usaha pemilik premis makanan dan tandas bersih atas inisiatif menjaga serta mengekalkan tahap kebersihan bagi mencapai standard terbaik mengikut kriteria ditetapkan PBT itu..

Beliau mengharapkan pengiktirafan itu dapat meningkatkan daya saing pemilik premis dalam menjadikan premis bersih sekali gus meningkatkan jumlah premis makanan dan tandas bersih di Petaling Jaya.

“Dengan adanya program seperti ini, risiko kejadian kes-kes keracunan makanan serta penyakit bawaan makanan dan minuman boleh dikurangkan.

“Semua pihak perlu bersama-sama MBPJ untuk terus menyumbang kepada pembentukan sebuah bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan menjelang tahun 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya