HULU TERENGGANU: Mayat seorang wanita ditemukan dalam longkang di tepi jalan berhampiran Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu di Batu 23, dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu ditemukan tertiarap di dalam longkang itu oleh orang awam kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa dikatakan dilanggar oleh seorang suspek di lokasi kejadian yang kemudiannya bertindak melarikan diri.
Tinjauan di tempat kejadian mendapati, sebuah kereta jenis Honda Jazz yang mempunyai kesan kemalangan disyaki kenderaan dinaiki mangsa turut berada berhampiran lokasi penemuan mayat.
Pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia yang berada di kawasan berhampiran terlebih dahulu mendengar suara wanita menjerit meminta tolong dari arah tempat kejadian.
“Saya kemudian melihat kelibat seorang wanita berada di tepi jalan sebelum dilanggar sebuah kereta sehingga terjatuh ke dalam longkang. Wanita terbabit sebelum itu turun dari kereta tersebut sebelum dilanggar.
“Individu yang memandu kerete tersebut kemudiannya dilihat melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan lain.
“Setelah itu saya hampiri kawasan longkang tersebut dan melihat mangsa dalam keadaan tertiarap,” ujarnya. – UTUSAN