BESUT: Mayat seorang bayi perempuan ditemukan di dalam plastik di tandas sebuah surau di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu kira-kira pukul 10 pagi.
Menurutnya, mayat bayi yang cukup sifat itu dijumpai dua wanita susulan bau busuk di tandas tersebut.
” Saksi bersama seorang rakan telah ke tandas surau itu dan mendapati terdapat bau dari tandas tengah dan terdapat satu baldi berwarna merah dalam keadaan ditelungkup.
“Setelah dibuka baldi tersebut mereka ternampak seperti seorang bayi di dalam plastik di tandas itu dan bertindak memaklumkannya kepada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) surau serta pihak polis,” katanya disini hari ini.
Menurut Abdul Rozak, anggota Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat seorang bayi perempuan dalam keadaan cukup sifat dengan tali pusat telah dipotong dan tanpa uri serta tiada kecederaan fizikal,” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan keadaan maat, bayi tersebut dianggarkan telah meninggal dunia kira-kira 48 jam lalu.
Katanya, mayat bayi itu telah di hantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat. – UTUSAN