AMALAN mengutamakan kroni dalam pemilihan pelakon membuatkan pelakon veteran, Sulaiman Yassin atau Mat Over sedikit kecewa dan berkecil hati.
Kata Mat, amalan sedemikian perlu dihentikan sebelum ia meranapkan industri seni tempatan.
“Maaf cakap, ada produser yang selalu ambil kroni untuk berlakon. Saya tidaklah kecewa sangat dengan perkara ini, cuma saya harap ia tidak diteruskan.
“Keadaan ini akan mensia-siakan bakat mereka yang benar-benar boleh berlakon. Penonton pun dapat menilai perkara ini.
“Saya dah berusia, tapi masih boleh berlakon. Cuma tidak seaktif dulu. Mungkin sebab produser ambil kroni, hanya kawan-kawan yang ditawarkan,” luahnya.
Mat ketika ditanya tentang perkembangan terbaru memaklumkan aktif menyanyi dan membuat lagu lebih-lebih lagi di negeri-negeri pantai timur.
“Saya terima banyak jemputan. Banyak masa terpaksa berulang alik dari Klang ke Terengganu.
“Tentang lakonan adalah beberapa drama yang saya buat, tapi tak banyak.
“Cuma sekarang saya dalam perancangan untuk menulis dan mengeluarkan lagu,” kongsinya.
KUTIP BOTOL, TOREH GETAH
Pelbagai kisah menarik yang dikongsikan Mat Over ketika penulis mengajak beliau berkongsi tentang latar belakangnya.
Katanya, dia dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan terpaksa bekerja pada usia muda untuk membantu keluarga.
“Ketika era-60 an, saya dan keluarga tinggal di Terengganu. Ayah saya meninggal dunia ketika usia saya mencecah 12 tahun.
“Hidup kami susah. Dan saya terpaksa bekerja mengutip botol, menoreh getah dan menjual jagung kering untuk menampung keluarga,” katanya.
Mat berpindah ke Selangor pada tahun 1968 untuk mengejar cita-citanya menjadi anak seni. Beliau berdepan pelbagai cabaran untuk membina kehidupan selepas berpindah.
“Saya perlu melakukan apa sahaja pekerjaan, pernah bekerja di ladang penternakan ayam dengan pendapatan sebanyak RM70 sebulan.
“Saya berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1971 untuk menjadi anak seni. Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila kerajaan mengisytiharkan darurat kerana tragedi 13 Mei.
“Saya tiada pilihan, terpaksa pulang semula ke Klang kerana perintah berkurung telah berkuat kuasa pada masa itu,” jelasnya.
TIRU SUARA P.RAMLEE
Mat Over sebenarnya lebih dahulu meminati bidang nyanyian berbanding lakonan.
Beliau satu ketika dahulu pernah disamakan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dek kerana kebolehannya meniru suara seniman agung itu.
“Bakat saya dicungkil menerusi pertandingan, kemudian ditawarkan berlakon sebagai sahabat seniman tersebut dalam sebuah filem riwayat hidupnya.
“Konflik antara Persatuan Anak-Anak Utara dengan pengarah ketika itu membuatkan filem tersebut tidak ditayangkan.
“Memang seronok apabila orang panggil kita sebagai P.Ramlee. Tapi lama kelamaan saya menjadi kurang teruja sebab dikenali dengan identiti orang lain,” katanya.
MAT OVER
Mana datangnya panggilan Mat Over? Itu persoalan yang sudah lama saya simpan untuk pelakon ini.
Kata beliau, gelaran tersebut diberikan pengarah Othman Hafsham kepadanya sewaktu dia membintangi filem Ujang pada tahun 1988.
“Disebabkan saya selalu menyanyi di set penggambaran, Othman menggelarkan saya Mat Over.
“Kemudian nama itu dijadikan sebuah watak dalam filem Mat Gelap pada tahun 1990. Sampai sekarang ia melekat pada saya dan saya anggapnya satu rezeki,” ujarnya.