Mangsa pernah lihat tapak kaki harimau

Mangsa pernah lihat tapak kaki harimau

CHE Sulaiman Che Kob menunjukkan pakaian mangsa yang dibaham harimau belang di Kampung Kuala Tol, Gua Musang, Kelantan.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lelaki warga Indonesia yang maut diserang harimau belang pernah melihat kesan tapak kaki binatang karnivor itu di kawasan ladangnya menoreh getah di Kampung Tol di sini seminggu lalu.

Seorang penduduk, Sabariah Awang, 63, berkata, sebelum kejadian mangsa sempat singgah di kedai runcitnya sebelum ke ladang getah terbabit.

“Sehingga kini saya masih terbayang wajah mangsa kerana dia seorang yang sangat baik dan pendiam. Jika ke kedai ini dia selalu berbual dengan saya dan sangat sedih dengan kejadian yang menimpanya.

“Kejadian itu sangat mengejutkan kami penduduk di sini kerana jarak tempat kejadian dengan jalan utama Gua Musang-Jeli hanya 400 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sabariah memberitahu, mangsa juga pernah bercerita kepadanya dia sedang mengumpul duit hasil menoreh getah untuk pulang ke kampung halamannya di Acheh, Indonesia.

Katanya, dia sedih kerana hasrat arwah untuk pulang ke kampung berjumpa ahli keluarganya tidak kesampaian.

“Seminggu lalu, sebelum kejadian berlaku mangsa pernah menunjukkan gambar kesan tapak kaki harimau di kawasan dia menoreh getah.

“Saya menasihatkan dia supaya berhati-hati dan menjaga diri ketika keluar bekerja. Namun, tak sangka kejadian ini berlaku terhadapnya,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Che Sulaiman Che Kob, 65, berkata, selepas dimaklumkan mangsa tidak pulang kerumahnya sejak kelmarin, dia bersama penduduk kampung keluar mencari mangsa di tempat dia sering menoreh getah.

Katanya, kejadian itu berlaku di tepi jalan masuk ke kawasan ladang getah dan tidak jauh dari jalan utama Gua Musang-Jeli.

“Sampai di tempat kejadian, kami menemui motosikal mangsa dan di kawasan yang sama ada kesan darah bersebelahan tong biru sebelum menemui seluar mangsa.

“Namun kami tidak berani untuk masuk ke dalam kawasan ladang getah walaupun nampak kesan mangsa diseret binatang buas itu. Saya kemudian  terus menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu sehinggalah pasukan penyelamat sampai di lokasi kejadian,” ujarnya.

Semalam, seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan menjadi mangsa ketiga yang maut akibat dibaham harimau dalam tempoh tiga minggu selepas mayatnya ditemui dalam mengerikan di kawasan ladang getah Kampung Kuala Tol, di sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Syabaini, 36, dijumpai dengan anggota tubuh badan yang tidak sempurna apabila kehilangan tangan kanan, cedera pada bahagian leher dan kedua-dua ibu jari kaki. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN