Mangsa maut tidak endah teguran jauhi jentera pembajak

Mangsa maut tidak endah teguran jauhi jentera pembajak

ANGGOTA bomba melakukan operasi membabitkan kanak-kanak lelaki OKU yang maut dipercayai digilis jentera pembajak. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kanak-kanak lelaki yang maut akibat terkena bilah traktor pembajak tanah dalam kejadian di Kampung Kepala 10, Telaga Batu, Jitra, dekat sini kelmarin dipercayai mengekori jentera itu terlalu rapat bagi menangkap ikan menggunakan serkap dan kayu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitenden Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati pemandu jentera tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 46 tahun sempat menegur mangsa, Muhammad Aiman Rosli, 11, serta rakan-rakannya supaya menjauhi jentera pembajak tersebut bagi mengelakkan kemalangan.

Namun, katanya, teguran tersebut tidak diendahkan mangsa yang juga pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) intelektual.

“Mangsa dipercayai ke lokasi kejadian dengan menunggang basikal bersama dua rakannya kira-kira pukul 5.30 petang dan terus mengekori jentera bagi menangkap ikan menggunakan serkap serta kayu. Pemandu jentera itu sempat menegur agar kanak-kanak itu menjauhi jenteranya namun nasihat itu tidak dihiraukan.

“Ketika kejadian, dua rakan mangsa berada di depan jentera manakala mangsa mengekori di belakang. Kira-kira 10 minit selepas menegur kanak-kanak itu, pemandu jentera tersebut mendapati mangsa sudah tiada di belakang.

“Melihat keadaan itu, pemandu tersebut segera memberhentikan jentera tersebut dan mengangkat bilahnya. Dia ternampak mangsa jatuh dari bilah pembajak dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya.

Terdaduku, akhbar ini melaporkan kejadian yang menimpa mangsa itu memerlukan khidmat bomba untuk mengeluarkan jasadnya.

Sementara itu Rodzi berkata, pemandu jentera tersebut mengakui mengenali mangsa serta ahli keluarganya kerana mereka tinggal di kampung sama.

“Mangsa adalah pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Muda, Alor Biak dekat Sungai Korok di sini mengalami kecederaan parah di kepala. Jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.

“Pemandu jentera itu sudah membuat laporan polis dan pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati, tiada sebarang unsur jenayah berlaku. Siasatan lanjut bagaimanapun akan diteruskan dengan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. -MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya