RANTAU PANJANG: Mangsa banjir di Kampung Tersang di sini meluahkan rasa syukur apabila rumah mereka yang runtuh akibat musibah itu sudah siap dan boleh diduduki.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Hasniza Che Omar, 46, berkata, rumah yang dibina kerajaan itu sudah didudukinya sejak minggu lalu.
“Sepanjang pembinaan rumah ini yang mengambil masa hampir dua tahun, saya sekeluarga menumpang tinggal di rumah mentua.
“Rumah sebelum ini musnah selepas dihanyutkan air deras apabila Kampung Tersang dilanda banjir luar biasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Che Hasniza antara lima penerima rumah bantuan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar apabila rumahnya dihanyutkan banjir pada Februari 2022.
Sementara itu seorang lagi penerima bantuan rumah, Mariam Mamat, 74, berkata, walaupun rumah baharunya siap dibina tetapi dia sekeluarga belum mendudukinya lagi.
Katanya, dia akan berpindah ke rumah baharu yang dibina di tapak asal selepas musim banjir nanti.
“Tak lama lagi dah nak masuk musim banjir, risau nak angkut barang masuk rumah baharu kerana khuatir banjir besar lagi dan memusnahkan harta benda.
“Saya masih trauma, hati sentiasa berdebar setiap kali tibanya musim banjir kerana dalam setahun Kampung Tersang berulang kali dilanda banjir,” katanya. – UTUSAN