Malaysia-Jepun bakal bincang konflik Palestin-Israel

Malaysia-Jepun bakal bincang konflik Palestin-Israel

FUMIO KISHIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Konflik Palestin-Israel bakal menjadi topik perbincangan isu berkaitan serantau dan antarabangsa dalam rangka lawatan kerja Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ke Malaysia bermula hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai kemajuan hubungan dua hala terutamanya melibatkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk bidang pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi.

“Ini merupakan lawatan sulung Kishida ke Malaysia sejak pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober 2021 yang akan diiringi pegawai-pegawai kanan Kerajaan Jepun.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

“Kishida akan diraikan Perdana Menteri dalam satu jamuan makan tengah hari. Lawatan Kerja ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara,” katanya hari ini.

Wisma Putra berkata, memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

“Pada tahun 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

“Sehingga Jun lalu, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN