Malaysia hargai komitmen Jepun, bantah pendudukan haram Israel

Malaysia hargai komitmen Jepun, bantah pendudukan haram Israel

ANWAR Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Fumio Kishida di di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam. - FOTO PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menghargai komitmen Jepun yang menentang pendudukan haram Israel ke atas bumi Palestin sejak 75 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan rakan sejawatnya, Fumio Kishida mengadakan perbincangan bersama berhubung konflik Palestin-Israel ketika lawatan Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia hari ini dengan merujuk kepada serangan ke atas Gaza masih berterusan ketika ini.

Anwar berkata, Jepun turut menyuarakan sokongan supaya wujud keamanan di rantau dan bantuan kemanusiaan tanpa syarat disalurkan segera ke wilayah Gaza yang kini berlaku krisis kemanusiaan terburuk dengan lebih 9,000 orang terkorban dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat pengeboman Israel.

“Kami berbincang berhubung konflik Palestin-Israel, walaupun wujud penekanan berbeza, tetapi saya menghargai komitment Kishida, pertamanya, menentang tindakan pendudukan haram Israel di Palestin.

“Keduanya ialah mengenai sokongan supaya wujud keamanan di rantau dan bantuan kemanusiaan sepenuhnya dihantar kerana pengeboman di Gaza telah memberi impak kerosakan lebih teruk berbanding ketika pengeboman bom atom di Hiroshima pada Perang Dunia Kedua,” katanya dalam sidang akhbar bersama kedua-dua pemimpin di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Sementara itu, Kishida berkata, pendirian Jepun adalah mengenai keperluan semua pihak bertindak mengikut lunas undang-unang antarabangsa memandangkan krisis Palestin dan Israel semakin memuncak.

Jelasnya, situasi ketegangan perlu diredakan segera terutama krisis kemanusiaan di Gaza sebelum ia merebak ke negara jiran.

“Isu israel dan Palestin yang semakin tegang, saya terangkan pendirian Jepun dan pentingnya keperluan semua pihak bertindak mengikut lunas undang-undang antarabangsa.

“Pada masa sama mengelak ia merebak ke negara jiran dan perlu meredakan ketegangan situasi dengan segera terutama krisis kemanusiaan di Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN