PETALING JAYA: Kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua pelajar merentasi batasan kaum, agama atau status sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan berkualiti dapat mengubah kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.
Katanya, ini termasuk membuka peluang ekonomi yang lebih luas, menoktahkan kemiskinan serta ruang untuk mobiliti sosial.
“Pendidikan berkualiti adalah asas bagi membangunkan Malaysia Madani, seperti yang turut disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru,” katanya seperti dipetik dalam Facebooknya.
Fadhlina sebelum ini menyampaikan kenyataan negara mewakili Malaysia di Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-42, di Paris, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina menyifatkan penyertaan beliau dalam Dialog Peringkat Menteri Berkaitan Pendidikan Keamanan UNESCO merupakan satu pernghormatan buat dirinya.
“Persidangan kali ini mengangkat agenda Pendidikan Damai yang mengungkapkan peranan setiap negara dalam memupuk budaya damai, harmoni dan mesej keamanan menerusi peranan pendidikan.
“Memetik kata Maria Montessori, pendidikan adalah senjata terbaik untuk kedamaian (Education is the best weapon for Peace), selamanya peranan pendidikan harus tuntas mengangkat tema kemanusiaan sejagat dan nirmala keharmonian marcapada ini,” katanya. – UTUSAN