IPOH: Tuan rumah, Malaysia mengalami nasib berbeza pada hari pertama Kejohanan Hoki Jemputan Antarabangsa Dalam Dewan merebut Piala Sultan Nazrin Shah di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Selepas membuat permulaan baik dengan membelasah Australia 8-2 dalam perlawanan pertama pada pagi, anak buah Hanif Che Halim tersungkur 5-7 kepada Nabimia pada aksi petang tadi.
Pemain Malaysia jelas menghadapi kesukaran mengekang Namibia yang menduduki ranking ke-13.
Walaupun mendahului 4-2 satu ketika, pemain Malaysia membenar lawan untuk bangkit menyamakan kedudukan dan kemudian meraih kemenangan 7-4 pada suku keempat.
Terdahulu, bagi Malaysia kemenangan besar ke atas Australia nyata di luar jangkaan kerana kedua-dua pasukan terbabit dalam saingan sengit yang menyaksikan Malaysia mendaulu 3-2 pada separuh masa pertama.
Malaysia membuka jaringan melalui Danial Abdul pada minit kesembilan tetapi Australia menyamakan kedudukan melalui Jett Leong seminit kemudian.
Syed Mohd Shafiq Syed Cholan meletakkan Malaysia di hadapan melalui pukulan sudut penalti tiga minit kemudian tetapi Australia memadam kelebihan itu seminit kemudian oleh kaptennya, Ross Hall.
Namun, Firdaus Omar mencetak nama sebagai penjaring untuk memisahkan kedua-kedua pasukan enam minit saingan suku kedua berlangsung untuk tuan rumah mendahului 3-2 pada separuh pertama.
Saingan suku ketiga menyaksikan skuad kebangsaan menjaringkan lima gol untuk memusnahkan lawan melalui hatrik Muhammad Azhar dan masing-masing satu gol oleh Faridul Mohd dan Shafiq Yaacob.
Sementara itu, Afrika Selatan membuktikan kehebatannya selaku pasukan ranking ketujuh apabila membelasah Hong Kong 19-0 selepas mendahului 9-0 pada separuh pertama.
Steven Paulo menyumbang lima gol, Justin Domleo dan Keegan Hezlett (hatrik), Rustan Abrahams, Kyle Esali dan Nicholas White (dua gol) dan Dal Langford (satu gol) adalah penjaring gol Afrika Selatan.
Sementara itu, Namibia bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mengatasi New Zealand 3-2. – UTUSAN