SEPANG: Sebanyak 96.96 kilogram (kg) daun ketum dan 270,000 mililiter (ml) air ketum siap diproses dirampas dalam serbuan di dua buah rumah di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan pukul 5 pagi di Bandar Salak Tinggi itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah, pihaknya berjaya merampas 180 botol plastik lutsinar berisi air ketum dengan anggaran berat 270,000 ml.
Beliau berkata, lanjutan daripada serbuan pertama, pihaknya kemudian menyerbu rumah bersebelahan dan merampas lagi 284 bungkus plastik lutsinar yang didalamnya berisi 68.49 kg daun ketum.
“Turut dirampas dua bungkus guni warna putih yang didalamnya berisi leraian dedaun ketum yang siap dihiris seberat 28.47 kg selain dua tong, satu unit dapur gas dan satu unit periuk aluminium.
“Siasatan awal mendapati, daun ketum yang dirampas itu dipercayai diproses untuk menjadi air ketum sebelum dijual untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan barang kes dianggarkan bernilai RM3,670.
Wan Kamarul Azran berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan suspek juga tiada rekod jenayah lampau.
Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 6 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Kami memohon orang ramai membantu pihak polis dalam melaporkan sebarang aktiviti jenayah termasuk berkaitan dadah dan ketum bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaannya daripada berleluasa,” katanya. – UTUSAN