PETALING JAYA: Penyediaan makanan sihat dan bernutrisi di kantin sekolah dan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) memerlukan kos tinggi sekali gus membebankan pengusaha.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, pengusaha tiada masalah untuk menyediakan makanan sihat dan berkhasiat kepada pelajar jika harga makanan boleh dikenakan lebih mahal.
Menurut beliau, ini kerana kos bahan-bahan mentah untuk menyediakan makanan berkhasiat itu agak mahal.
“Makanan terpilih yang mempunyai nutrisi tinggi misalnya, sayur-sayuran seperti brokoli atau lobak merah semuanya melibatkan kos tinggi yang membebankan pengusaha untuk menyediakan makanan sihat pada harga rendah.
“Contoh, program RMT sekarang yang pada kadar RM3.20 pun pengusaha kantin mengeluh tak balik modal, lagi lah tak boleh balik modal kalau tukar menu makanan sihat melibatkan bahan mentah lebih mahal.
“Jadi kalau sarankan mengambil makanan sihat melalui RMT atau makanan di kantin sekolah, maka harga di kantin sekolah perlu dikaji semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebanyak 29.7 peratus kanak-kanak di negara ini dilaporkan mengalami masalah bantut disebabkan cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
Selain faktor keluarga dan ibu bapa yang tidak mengutamakan makanan berkhasiat, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mendedahkan ada pengusaha kantin di sekolah tertentu yang menyediakan menu sosej dan nasi melalui program RMT menyaksikan murid berkenaan sepatutnya disajikan makanan berkhasiat.
Mengulas lanjut, Siti Normah berkata, pihaknya tidak menolak kantin sekolah merupakan satu platform untuk menggalakkan pelajar mengambil makanan berkhasiat kerana mereka tidak mempunyai pilihan .
Namun, katanya, harga kos bahan mentah yang tinggi tetap menjadi isu dan tekanan kepada pengusaha, apatah lagi apabila kerajaan menarik kawalan dan subsidi bahan tertentu.
“Kementerian berkenaan patut fikirkan sesuatu untuk pengusaha kantin boleh sediakan makanan berkauliti dan sihat kepada pelajar.
“Isunya sekarang ini, siapa yang mahu melaksanakan sekiranya perlu menanggung kerugian. Mungkin boleh tetapkan harga kos pada kadar yang tidak melebihi sepatutnya atau harga makanan program RMT dinaikkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menambah, makanan yang disediakan melalui program RMT pada masa kini juga boleh dikategorikan sebagai menu sihat.
“Mungkin perlu sedikit penambah baik kalori bagi memastikan pelajar mendapat nutrisi sepatutnya serta pemantauan dari segi penyediaan makanan itu,” katanya.-UTUSAN