Kuala Lumpur. – Terkesan dengan penderitaan penduduk Palestin, restoran Me’nate Steak Hub menganjurkan kempen makan dan derma di semua cawangannya.
Mensasarkan dana sehingga RM 300,000, kempen yang berlangsung selama 15 hari ini bermula 6 sehingga 20 November depan dilihat sebagai tanda solidariti restoran tersebut dalam membantu mangsa- mangsa kekejaman tentera zionis.
Menurut Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali yang juga pemilik Me’nate Steak Hub, usaha pihaknya ini mengambil kira keadaan yang semakin genting di Gaza.
“Kami positif sasaran RM 300,000 dapat dikumpulkan dalam tempoh 15 hari. Mengapa kempen ini tidak berjalan lama, bagi kami sumbangan kepada penduduk Palestin harus disegerakan.
“Semua pelanggan yang menikmati sajian di sini sekaligus berpeluang menderma 10 peratus kepada tabung Palestin melalui harga hidangan yang dikenakan,” katanya.
Tidak menolak akan meneruskan kempen seumpama ini pada masa hadapan, menjadi harapannya agar inisiatif seperti ini akan turut di sertai oleh premis- premis makanan lain.
“Jika kempen ini mendapat sambutan kami tidak teragak- agak untuk meneruskanya pada masa hadapan.
“Harapanya bukan kami sahaja, tetapi sahabat- sahabat yang berada dalam industri ini juga turut serta dalam membantu saudara kita yang kini sedang bergelut memerlukan bantuan,”katanya.
Terharu dengan keprihatinan masyarakat di negara ini, Muaz Omar yang mewakili Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan prihatin masyarakat yang membantu penduduk Palestin.
“Kami berterima kasih ke atas bantuan yang tidak putus- putus diberikan. Kepayahan yang sedang dilalui rakyat kami menjadi sebab untuk kita lebih dekat dan erat.
“Cukup menakutkan apabila membayangkan keadaan yang terpaksa dihadapi saudara kita di sana terutamanya orang awam dan kanak-kanak. Malah ketika ini bukan sahaja bantuan makanan dan perubatan yang diperlukan tetapi kedatangan musim sejuk juga akan menjadi satu lagi cabaran besar buat mereka di sana,” katanya.