KUALA KANGSAR: Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Tahun 2023 di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar hari ini.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dengan disertai oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Majlis juga disertai semua jemaah yang seterusnya bersama-sama menunaikan solat Jumaat. Bacaan Yasin dipimpin oleh Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.
Solat Jumaat di sini dipimpin Imam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Syed Muhammad Hazwan Syed Azmai.
Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharudin menyampaikan khutbah bertajuk Peranan Dan Tanggungjawab Raja Pemerintah.
Dalam Khutbah tersebut dibacakan, Raja berperlembagaan bukan sekadar pelengkap berbentuk hiasan untuk memenuhi adat negara beraja rakyat bersultan, tetapi terbukti mempunyai roh dan peranan sebagai penimbang tara terakhir, pada waktu-waktu negara menghadapi krisis, persengketaan, ancaman dan keadaan ketidaktentuan.
“Khatib menyembah ucapan ‘Dirgahayu Tuanku’ kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dengan iringan doa semoga negeri di bawah naungan pemerintahan Tuanku dilimpahi keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran.
“Khatib juga menyembah ucapan tahniah atas pemilihan Duli Yang Maha Mulia Tuanku oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, buat kali ketiga berturut-turut. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan petunjuk Ilahi dalam memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan,” kata Badrul Husaini dalam bacaan khutbah tersebut. – UTUSAN