PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak rayuan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman fitnah RM10 juta terhadap bekas Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Gunalan Muniandy dan Hakim Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.
“Mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan ini dan rayuan ditolak dengan kos. Kos sebanyak RM100,000 perlu dibayar kepada responden (Kit Siang),”kata Hakim Hadhariah.
Pada 23 Mei 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Mohamed Apandi terhadap veteran DAP itu kerana mendakwa ahli politik itu telah memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1MDB.
Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang menulis dan menyebabkan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” disiarkan portal berita Malaysiakini.
Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.
Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.
Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mohamed Apandi memfailkan rayuan itu pada 24 Mei 2022. –UTUSAN