Mahathir mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu - Utusan Malaysia

Mahathir mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu

MAHATHIR Mohamad (tengah) bergambar bersama Abdul Hadi Awang ((tiga, kanan) dan Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga, kiri) ketika berkunjung di Rusila, Marang, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan lawatan kerja seharinya ke Terengganu bermula pukul 10:30 pagi tadi.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, jadual  Mahathir dimulakan dengan pertemuan bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan negeri di Wisma Darul Iman di sini.

Menurutnya, pertemuan secara tertutup itu berlangsung selama hampir sejam setengah mengenai perancangan pembangunan ekonomi negeri State Government 4 (SG4) iaitu Terengganu, Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Pertemuan itu berjalan dalam suasana cukup positif turut memberi penerangan serta pencerahan mengenai kedudukan masa kini pelaburan di negeri Terengganu dan negeri-negeri SG4 yang lain.

“Dalam sesi mesyuarat tersebut Mahathir menekankan mengenai penubuhan struktur rasmi ‘SG4’ bagi memulakan agenda pelaburan di empat negeri tersebut secara pantas.

“Kepimpinan ‘SG4’ mestilah berteraskan pada situasi mesra pelabur mestilah digabungkan sebagai satu badan untuk melaksanakan agenda pelaburan yang menguntungkan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Gabungan SG4 itu telah melantik Mahathir sebagai penasihat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu membantu menarik pelaburan terutama dari Jepun, China, Korea Selatan dan Timur Tengah keempat negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, Mahathir juga memaklumkan kepada Ahmad Samsuri bahawa beberapa pelaburan telah dikenal pasti untuk ‘SG4’ memulakan perancangan pelaburan secara kolektif.

Selepas tamat pertemuan itu, Mahathir seterusnya telah berkunjung ke rumah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang untuk jamuan makan tengahari.

Khairuddin berkata, bekas Perdana Menteri itu juga berkesempatan menunaikan solat Zuhur di Masjid Rusila setelah meluangkan masa hampir sejam bersama Abdul Hadi untuk membincangkan pelbagai isu-isu negara ketika ini.

“Dalam perjalanan pulang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud pula, Mahathir sempat membuat lawatan ke kilang dua usahawan makanan tempatan iaitu Adeqsue dan Muslim Food di Kuala Nerus bagi memberi sokongan moral ke arah mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Lawatan kerja ke Terengganu berakhir pada pukul 3:30 petang tadi dengan lokasi terakhir di Batu Rakit untuk minum petang seterusnya berangkat ke Lapangan Terbang untuk berlepas pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya turut memaparkan gambar kunjungan Mahathir ke Terengganu hari ini.

“Pertemuan untuk memperkemaskan lagi kerjasama antara negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad. Buah fikiran serta pengalaman beliau begitu mahal buat kami.

“Terima kasih Tun M sudi datang ke negeri cantik, Terengganu Darul Iman,” tulisnya dalam status Facebook tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya