SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan penghuni yang menerima bantuan tempat tinggal dekat Pangsapuri Seri Purnama, Subang Bestari, di sini dihalau keluar selepas menandatangani perjanjian baharu pada bulan lalu.
Sebaliknya, perjanjian yang ditandangani mereka adalah surat persetujuan dan tawaran untuk menduduki rumah berkenaan dengan bantuan LZS yang diperbaharui pada setiap dua tahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, berlaku salah faham dalam kalangan asnaf dan fakir miskin di sana kerana surat tersebut bukanlah arahan berpindah seperti didakwa mereka.
“Berkaitan surat perjanjian diterima oleh asnaf, ia bukanlah suatu arahan perpindahan sebaliknya merupakan surat tawaran menduduki sementara di rumah pangsapuri tersebut. Surat kebenaran ini mengandungi terma yang perlu ditandatangani oleh asnaf yang menduduki rumah itu.
“Asnaf yang menetap di pangsapuri tersebut akan menerima surat tawaran ini setiap dua tahun bagi memperbaharui kontrak menduduki rumah, selagi mana asnaf tersebut layak tinggal di situ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, seramai 44 keluarga asnaf yang menetap di situ dan masih menerima bantuan daripada LZS termasuklah bantuan makanan dan kewangan bulanan, pendidikan, hari raya dan sebagainya bergantung kepada keperluan masing-masing.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan 47 asnaf, fakir dan miskin yang tinggal di pangsapuri berkenaan gusar apabila mendakwa mereka diarahkan berpindah selepas menandatangani perjanjian baru-baru ini.
Arahan tersebut dikatakan bertentangan dengan perjanjian asal antara penduduk dengan LZS sebelum ini yang membenarkan mereka tinggal di sana sampai bila-bila.
Dalam pada itu, Mohd. Sabirin menjelaskan penempatan asnaf di Pangsapuri Seri Purnama merupakan salah satu inisiatif bagi membantu asnaf, fakir dan miskin menetap di rumah yang disediakan LZS di situ sehingga satu tempoh yang ditetapkan.
“Asnaf yang menerima bantuan tersebut, layak tinggal di penempatan itu selagi mana mereka masih asnaf fakir dan miskin serta berpendapatan di bawah had kifayah (garisan kecukupan minimun bagi keperluan asasi).
“Bagaimanapun, LZS akan menjalankan semakan dari tahun ke tahun untuk melihat kelayakan mereka yang tinggal di sana berdasarkan had kifayah dan syarat kelayakan lain,” ujarnya. – UTUSAN