LIPIS: Kira-kira dua juta pengguna jalan raya menikmati perjalanan tanpa tol yang selesa di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulunya dikenali Central Spine Road (CSR) dari Bentong, Pahang ke Gua Musang, Kelantan sepanjang cuti Deepavali dan persekolahan bermula 10 November sehingga esok.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kemudahan laluan LTU antara Pahang dan Kelantan telah melancarkan pergerakan kenderaan sekali gus mengambil masa yang singkat serta menjimatkan kos bahan api.
“Projek ini yang akan siap sepenuhnya pada 2026 kerana ada di sesetengah laluan masih dalam pembinaan, namun kerajaan amat berpuas hati kerana LTU antara kedua negeri ini merupakan projek perhubungan jalan raya yang terbesar di negara ini selain kemudahan di LPT ke Pantai Timur.
“Saya telah memantau keadaan laluan di LPT dan LTU sempena Deepavali dan cuti sekolah minggu ini, ramai pengguna berpuas hati dan berasa selesa dapat memandu pulang ke destinasi masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Litar Motor Lasak Tok Man di Kuala Lanar, dekat sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, senario yang sama juga dilaporkan apabila 9.2 juta buah kenderaan bergerak di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (LKR), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dalam tempoh empat hari ini.
“Bermula hari Jumaat lalu, sebanyak 173,000 buah kenderaan yang menggunakan LKR, manakala LPT1 sebanyak 71,000 buah dan 50,000 buah di laluan LPT2 sehari, manakala di LTU Bentong-Raub-Lipis ke Gua Musang dalam anggaran 50,000 sehari.
“KKR juga meminta syarikat konsesi berkenaan memastikan pengoperasian di sepanjang laluan dalam keadaan terbaik serta kemudahan awam dapat berfungsi terutamanya di kawasan Rehat & Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya,” katanya.
Selanjutnya Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, KKR berterima kasih kepada syarikat konsesi kerana pengoperasian sistem kutipan tol berfungsi dengan baik apabila pengendali berkenaan menambahkan lorong tol sementara di beberapa plaza yang dikenal pasti mempunyai bilangan kenderaan yang tinggi.
“Bagi keselesaan perjalanan pengguna pulang ke kampung, KKR juga meminta syarikat konsesi lebuh raya supaya menghentikan kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan ke Pantai Timur dan Kuala Lumpur yang melibatkan penutupan lorong buat sementara mulai hari Jumaat lalu sehingga habis tempoh bercuti Deepavali,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, pembukaan Litar Motor Lasak Tok Man di Kuala Lanar untuk memberikan kemudahan penduduk khususnya belia di Lipis menyertai sukan riadah secara sihat setiap hujung minggu dan bercuti.
“Gunakan kemahiran serta bakat yang ada menunggang motosikal di lokasi (litar) yang disediakan dan bukan berlumba di jalan raya yang mengundang risiko keselamatan diri dan orang lain,” katanya.
Ujarnya, sekiranya litar tersebut aktif dengan aktiviti sukan motosikal lasak termasuk pertandingan, beberapa fasiliti lagi akan ditambah untuk keselesaan peserta dan penonton juga penduduk berpeluang menjana pendapatan penduduk di situ. – UTUSAN