Lori isi minyak 22 kali sejam bongkar kegiatan seleweng diesel - Utusan Malaysia

Lori isi minyak 22 kali sejam bongkar kegiatan seleweng diesel

ANGGOTA penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap tangki sebuah lori selepas dipercayai melakukan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Kampar. - UTUSAN/IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di sini, terbongkar apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, semalam.

Serbuan menerusi Op Tiris pada pukul 11.15 malam itu dijalankan selepas risikan selama seminggu dilakukan berkaitan aktiviti pembelian minyak diesel menggunakan lori tangki secara berulang di stesen minyak sekitar Kampar.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemantauan yang dijalankan telah mengesan sebuah lori tangki yang melakukan 22 kali pengisian minyak diesel melalui dua nozel pam serentak di stesen minyak yang sama dalam tempoh sejam.

Katanya, pemeriksaan ke atas pemandu lori tangki berusia 38 tahun itu mendapati dia gagal mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan apabila diminta.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tangki asal lori itu disyaki telah diubah suai dengan penyambungan pam penyedut dari tangki asal lori ke tangki yang berada di atas lori.

“Pemeriksaan turut dilakukan ke atas stesen minyak tersebut dan mendapati lori tangki berkenaan telah melakukan 22 kali pengisian dan setiap transaksi pembelian berjumlah RM500,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya menyita sebuah lori tangki, peralatan pam penyedut, dokumen yang berkaitan dan anggaran sebanyak 5,000 liter cecair disyaki minyak diesel yang berada di dalam tangki lori.

Katanya, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM172,750.

“Pekerja stesen minyak itu telah diambil keterangan manakala pemandu lori pula ditahan untuk siasatan lanjut.

“Tindakan penguatkuasaan juga dijalankan ke atas pemilik stesen minyak itu kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan kerana membenarkan mana-mana individu membuat pengisian minyak diesel ke dalam tong dan bukannya tangki asal kenderaan.

“Malah, pihak stesen minyak turut disiasat kerana disyaki tidak mematuhi Arahan Pengawal Bekalan mengenai penjualan minyak diesel melebihi 250 liter bagi satu transaksi,” katanya.

Tambah beliau, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN