LKIM bangunkan tanah terbiar, perkasa projek akuakultur

LKIM bangunkan tanah terbiar, perkasa projek akuakultur

MUHAMMAD FAIZ Fadzil (empat dari kiri) menunjukkan udang putih yang diternak di tapak projek ternakan udang dalam kolam fasa dua di Kampung Sebatu, Sungai Rambai, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengenal pasti kawasan tanah terbiar milik persatuan nelayan di seluruh negara untuk dibangunkan sebagai projek ternakan akuakultur.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha itu bagi meningkatkan keupayaan akuakultur dalam membekalkan sumber protein, sekali gus menyokong program keterjaminan makanan pada masa depan.

Kata beliau, antara lokasi yang telah dikenal pasti dan sedang dinaik taraf adalah Bukit Malut dan Pantai Merdeka, Kedah; Badong, Pahang dan Juru, Pulau Pinang.

“Kita menyahut seruan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menetapkan sasaran hasil ikan daripada aktiviti akuakultur mencapai 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL). Jadi kita akan menggerakkan semua aset yang ada termasuk kolam ternakan yang sebelum ini terbiar untuk segera diusahakan.

“Kita juga mahu pastikan persatuan nelayan di bawah LKIM mempunyai produk perikanan sendiri. Oleh itu mana-mana persatuan nelayan negeri yang memiliki aset (tanah), kita akan pastikan mereka terlibat,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Perasmian Program Jualan MyAqua’ Best di sini, hari ini.

Tambah Muhammad Faiz, LKIM memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi tujuan tersebut dengan beberapa lagi lokasi telah dikenal pasti.

Menurutnya, projek itu turut melibatkan pembiayaan daripada pihak swasta dan persatuan nelayan di kawasan terlibat.

“Kos setiap kawasan adalah berbeza. Contohnya kita salurkan RM1.4 juta untuk projek di Badong bagi pembelian kolam kanvas sementara Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengeluarkan kos RM8 juta antaranya untuk membeli peralatan, benih dan kos rawatan air,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya