PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju liputan perlindungan sosial secara berfasa diperluaskan ke atas populasi umur bekerja rakyat yang mencapai umur 18 tahun bagi menjamin pendapatan hari tua bermula tahun depan.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pelaksanaan itu bagaimanapun akan diperhalusi dan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) membawa cadangan ini untuk kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri.
Perkara itu dibincangkan melalui Mesyuarat MySPC Kali Ke-6, Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen, hari ini.
Melalui MySPC, jelasnya, kerajaan menyasarkan agar jaringan keselamatan sosial negara dapat diperkukuh dan diperluaskan.
“Malah ia perlu segera diterjemahkan kepada pelan tindakan yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya.
“Hasrat tersebut boleh dicapai melalui penyelarasan dan pelaksanaan program-program perlindungan sosial secara inklusif serta program peningkatan kapasiti dan keupayaan kumpulan sasar yang bersepadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan sentiasa meneliti kaedah terbaik dalam meningkatkan liputan keselamatan sosial kepada populasi umur bekerja terutamanya yang berada dalam sektor tidak formal.
Pada masa sama katanya, kerajaanberusaha untuk mengatasi jurang kemahiran dalam sumber manusia serta memastikan kemampanan pembiayaan perlindungan sosial.
“Perkara ini adalah selari dengan pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.
“Perlindungan sosial mampan mampu memastikan setiap rakyat kekal menikmati taraf hidup yang wajar ketika mereka berdepan dengan sebarang risiko di sepanjang kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, mesyarat berkenaan juga turut membincangkan mengenai liputan perlindungan sosial yang lebih inklusif dan komprehensif kepada rakyat terutama kumpulan rentan dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal. – UTUSAN