KULIM: Tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran di sebuah rumah berjaya menyelamatkan lima ekor kucing yang berada dalam dua sangkar di Kampung Pondok Labu di Keladi, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim menemukan sangkar pertama yang menempatkan dua ekor kucing, sementara sebuah lagi sangkar mempunyai tiga ekor haiwan peliharaan itu yang diletakkan di tepi dinding rumah.
Menurut mangsa, Norlia Mazli, 39, dia tiada di rumah sewanya ketika kejadian kerana sedang bekerja di sebuah gerai di Taman Kuchai manakala empat anak pula berada di sekolah.
“Lima ekor kucing terbabit dipelihara dalam dua sangkar yang diletakkan di kawasan berbumbung bahagian luar rumah. Mujur anggota bomba sempat selamatkan kucing-kucing terbabit.
“Malah, saya bersyukur kami semua selamat cuma kini tinggal sehelai sepinggang apabila semua pakaian serta dokumen penting terbakar dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Norlia yang merupakan ibu tunggal, dia belum mengetahui jumlah kerugian yang dialami, namun reda dengan kejadian yang menimpanya serta menganggap sebagai ujian dari Allah.
Sementara itu, Ketua BBP Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, seramai 14 anggota dan pegawai dari balai tersebut dan BBP Kulim Hi-Tech bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman.
Menurut beliau, pihaknya turut dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kulim dan Lunas bagi membantu memadam api yang memusnahkan kira-kira 80 peratus rumah kelas B tersebut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. –UTUSAN