SUNGAI PETANI: Penduduk beberapa buah kampung dan taman perumahan di sini terpaksa mengambil masa lama untuk mencuci rumah mereka yang dipenuhi lumpur akibat kejadian banjir kilat, petang kelmarin.
Mangsa, T. Saroja, 59, yang tinggal di Taman Min Terk berkata, dia letih kerana terpaksa menimba air yang bertakung di dalam rumahnya selama beberapa jam sebelum banjir mulai surut hari ini.
“Keadaan agak teruk kerana air bercampur dengan lumpur, tambahan kerja-kerja pembersihan terpaksa dilakukan seorang diri kerana dua anak tinggal di luar daerah.
“Kali ini lumpur terlalu banyak hingga menyukarkan kerja membersih rumah selain pelbagai barangan dan perabot rosak akibat terendam dalam air,” katanya ketika ditemui semalam.
Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak malam kelmarin bagi menempatkan keluarga terjejas antaranya di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Belah (20 mangsa); SJK (C) Min (84 mangsa) dan Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Jerung (enam mangsa).
Seorang lagi mangsa yang tinggal di Taman Sari, Rubiah Othman, 65, berkata, walaupun membuat hadangan di hadapan pintu, limpahan air masih memasuki kawasan dalam rumahnya hingga menyebabkan pelbagai barangan tidak lagi dapat digunakan.
“Banyak barang rumah rosak selepas terendam air yang turut dipenuhi berlumpur dan sudah tentu sebahagiannya terpaksa dibuang,” katanya.
Azizah Ismail, 65, pula berkata, rumahnya yang terletak berdekatan sebatang anak sungai menyebabkan antara yang terawal dimasuki air.
“Memang kerap berlaku banjir kilat di kawasan ini tetapi kali ini agak teruk kerana turut membawa lumpur. Kerja pembersihan amat memenatkan terutama bagi warga emas seperti saya,” katanya.
Sementara itu di Gurun, kejadian ribut yang turut berlaku petang kelmarin merosakkan enam buah rumah di Taman Gurun Jaya, dua buah rumah di Kampung Sungai Badak dan masing-masing sebuah rumah di Kampung Batu 2 dan Kampung Linton Batu 2.
Seorang mangsa, Nordin Ban, 54, berkata, bumbung rumahnya dan lima jiran lain diterbangkan angin kencang selang beberapa minit selepas mereka mendengar bunyi deruman yang kuat menghampiri kawasan itu.
“Saya bersama isteri sedang berbual di ruang tamu sementara menunggu waktu solat Asar. Selepas terdengar deruman kuat kami segera keluar untuk meninjau dan terkejut apabila mendapati bumbung rumah sudah diterbangkan angin,” katanya.
Jirannya, Najwa Bakar, 56, berkata, ketika kejadian dia sedang menyapu sampah di bahagian dapur rumahnya, manakala suami, Mohd. Zahir Yahaya, 54, sedang berehat di dalam bilik.
“Saya juga mendengar deruman kuat yang semakin menghampiri rumah dan dapat agak bunyi itu merupakan pusaran angin sebelum segera mengejutkan suami. Hanya beberapa minit sahaja bumbung rumah kami diterbangkan angin sebelum diikuti hujan lebat dengan airnya memenuhi segenap ruang di dalam rumah,” katanya. -UTUSAN