Lembaga Peladang tidak belanja RM448.87 juta subsidi, insentif kepada pesawah

LKAN: Lembaga Peladang tidak belanja RM448.87 juta subsidi, insentif kepada pesawah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tidak membelanjakan baki peruntukan terkumpul setakat 2022 berjumlah RM448.87 juta yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk pemberian subsidi serta insentif kepada pesawah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, ia antara dibangkitkan dalam Lembaga Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 yang turut melibatkan 16 pengauditan prestasi dilaksanakan di 14 kementerian membabitkan projek dan program bernilai RM208.882 bilion.

“Selain itu, isu kelewatan pembekalan baja bagi tempoh 2016 hingga 2019 merupakan satu kerugian kepada kerajaan dan golongan sasar kerana bekalan baja lewat diterima tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap pembekal,” katanya. 

Pengurusan penanaman padi antara enam isu signifikan yang dibangkitkan dalam LKAN Tahun 2022 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan. 

Mengulas lanjut, Wan Suraya berkata, LKAN mengesan pencapaian Fasa 1 program ramalan dan amaran banjir melibatkan tiga lembangan sungai di Kelantan, Terengganu dan Pahang kurang memuaskan. 

Katanya, ini kerana walaupun kerajaan telah membelanjakan RM145 juta, kadar ketepatan ramalan banjir hanya 5.6 peratus sahaja dan ia tidak berupaya mengeluarkan amaran dan hebahan dua hari lebih awal. 

“Selain itu, kegagalan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk mengutip hasil pajakan tanah bagi dua projek, iaitu Projek Pembangunan Hotel St. Regis sebanyak RM3.19 juta sejak tahun 2018; dan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak tahun 2003,” katanya. 

Seterusnya isu berkaitan sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang menggantikan sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) mulai 2022 masih tidak mempunyai kontrak sehingga kini. 

“Selain itu, kawalan keselamatan Sistem FWCMS mendapati dua ID (pengenalan diri)  pengguna yang berperanan sebagai Super Admin Kementerian Sumber Manusia (KSM) dipegang oleh individu bukan pegawai KSM,” kata Wan Suraya. 

Tambah beliau, LKAN itu juga mendapati prestasi projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif adalah rendah. 

Katanya, ini kerana hanya 386 atau 25.6 peratus daripada 1,505 sekolah yang dikenal pasti mempunyai bangunan daif di seluruh Malaysia sahaja yang telah dilaksanakan projek naik taraf dan pembangunan semula itu. 

“Daripada 386 sekolah tersebut, hanya 123 (31.9 peratus) telah siap bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022. 

“Selain itu, penghasilan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang dilaksanakan merangkumi tiga sektor selaras dengan fungsi yang ditetapkan, masih belum dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri getah Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya