Lelaki warga emas ditemukan mati berhampiran ILP Gong Badak - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas ditemukan mati berhampiran ILP Gong Badak

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang dditemukan mati berhampiran ILP Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, di sini, hari ini.

Kejadian itu disedari pengawal keselamatan, Siti Nur Fazwanie Bukhari, 28, ketika berada di pos pengawal institut latihan itu kira-kira 12.30 tengah hari, sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Nur Fazwanie, ketika kejadian dia melihat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an sedang mengheret motosikalnya seorang diri melalui sebuah jalan di pintu belakang ILP berkenaan.

Katanya, tanpa mengesyaki apa-apa tidak lama selepas itu dia meneruskan pekerjaan seperti biasa sebelum mangsa hilang dari pandangan.

“Tetapi ketika melihat ke luar pagar ILP, saya ternampak mangsa jatuh tersenbam di tepi jalan dan motosikalnya juga dalam keadaan terjatuh dan saya kemudian menelefon pihak ambulans.

“Sementara menunggu ketibaan ambulans, saya diarahkan untuk membaringkan mangsa dan memeriksa keadaannya namun saya mendapati wajah mangsa sudah kebiru-biruan.

“Pasukan keselamatan yang tiba kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa menetap di Kampung Seberang Tepuh dan bekerja sebagai buruh di Kampung Bukit Berangan dekat sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurut beliau, mangsa disahkan lelaki Melayu berusia 65 tahun dan siasatan awal pihak polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat dan mengenal pasti punca kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya