GEORGE TOWN: Polis menahan seorang suspek lelaki semalam kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket yang menyamar sebagai pihak insurans dan polis melalui online membabitkan kerugian sebanyak RM133,000 kepada mangsa.
Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, suspek berusia 38 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Barat Daya.
“Mangsa seorang wanita berusia 55 tahun dikatakan telah terlibat dalam pengubahan wang haram dan telah disambungkan ke pihak polis dari IPD Ampang Jaya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang telah membuat dua transaksi pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berasingan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM133,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, pihak polis menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli melalui media sosial.
“Pihak polis juga menyarankan supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play Store Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan kerana positif dadah di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, semalam.
“Suspek didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN