TELUK INTAN: Setiap hari berulang alik bersama isteri menaiki sampan meredah banjir untuk melihat keadaan rumah yang dinaiki air.
Itu yang dilakukan hampir setiap hari oleh Abdul Rahman Roslan, 58, dan isterinya, yang merupakan mangsa banjir di kawasan Batu 8 Changkat Jong di sini demi memastikan barang rumah yang ditinggalkan semasa banjir tidak rosak akibat banjir yang melanda kawasan itu sejak lebih seminggu lalu.
Menurutnya, sejak banjir di kawasan itu, dia tinggal di rumah anaknya tidak jauh dari rumahnya untuk lebih selesa dan memudahkannya berulang alik melihat keadaan rumahnya.
“Setiap hari saya bawa isteri naik sampan ke rumah kami, kami nak pastikan keadaan air naik lagi atau tidak, nak tengok keadaan barang-barang rumah, risau jika ada apa-apa yang masuk dalam rumah.
“Saya bawa keluarga tinggal di rumah anak saya di atas bukit di Batu , di situ lebih selamat. Bukan tidak mahu dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tapi pada saya biarlah orang lain yang lebih layak, lagipun agak ramai mangsa di PPS Padang Tembak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, memasuki lebih seminggu banjir dia bimbang memikirkan sampai bila keadaan itu kerana kawasan itu mudah dinaiki air akibat air dari Sungai Sungkai dan Sungai Bidor terutama apabila hujan.
“Memang rasa sedih melihat keadaan rumah kami yang sudah lebih seminggu dinaiki air, saya pun tak tahu sampai bila kami di sini terpaksa berdepan banjir,” katanya.
Mangsa banjir, Zaiton Salleh,51, berkata, sebelum ini dia berpindah di PPS Dewan MPTI Langkap selama dua hari selepas rumahnya dinaiki air.
Katanya, selepas itu dia pulang setelah banjir surut dan membersihkan rumahnya daripada kotoran akibat banjir.
“Namun dia hari selepas itu, saya terpaksa berpindah semula ke PPS apabila banjir melanda semula. Saya pun tak tahu sampai bila akan berada di PPS ini.
“Sehingga rasa jemu dan tak larat untuk berulang alik pindah ke PPS kerana sudah tua. Saya bimbang anak cucu terdedah kepada ancaman penyakit bawaan banjir,” katanya. -UTUSAN