PONTIAN: Seorang ibu tunggal bimbang dengan masa depan keluarganya kerana masih tinggal di atas tanah rizab jirat Cina sejak 40 tahun lalu.
Jamilah A. Majid, 68, berkata, tanah seluas 0.5 hektar itu menempatkan lebih 30 kubur Cina ketika zaman penjajahan tentera Jepun, namun kini sudah tidak lagi digunakan.
Menurutnya, arwah bapanya, A. Majid Mareng yang meninggal dunia 30 tahun lalu mendirikan rumah di tanah rizab tersebut dengan persetujuan pihak pengurusan tanah perkuburan berkenaan.
Hingga kini, dia mewarisi rumah pusaka tersebut dan tinggal bersama-sama lapan ahli keluarga termasuk seorang anak lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) dan seorang cucu lelaki.
“Perasaan bimbang memang ada, takut nanti kami akan dihalau kerana menduduki tanah rizab kubur, ke mana saya dan anak-anak hendak tinggal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, dekat sini.
Jamilah berkata, walaupun tidak lagi digunakan, tetapi kubur-kubur tersebut masih dikunjungi oleh waris pada musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina.
“Mereka datang dari Johor Bahru, Singapura, Kuala Lumpur dan lain-lain tempat walaupun kawasan kubur tersebut semak dan tidak diurus dengan baik,” katanya.
Dia berharap suatu hari nanti dapat tinggal di tempat lain, namun, tidak mempunyai tanah lain untuk diduduki selain menumpang di tanah rizab tersebut.
“Nak beli tanah jauh sekali daripada kemampuan yang ada, sekarang, bergantung kepada tiga orang anak yang bekerja kilang di Pekan Nanas dan Ulu Choh bagi menampung perbelanjaan harian.
Seorang anak lelakinya, Mohd. Amirul Jumari, 24, kini menjadi OKU kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 2021 menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.
Jamilah mengakui tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak berkenaan kecuali Amirul yang mendapat bantuan OKU sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini, boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 01120-41-00005307 atau menghubungi talian 013-5455095. – UTUSAN