Lebih 40 rumah di sekitar Meru, Ipoh rosak dilanda ribut - Utusan Malaysia

Lebih 40 rumah di sekitar Meru, Ipoh rosak dilanda ribut

KEADAAN rumah yang rosak selepas dilanda ribut di Taman Meru 2C di Meru, Ipoh petang tadi. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 40 buah rumah rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian di di Taman Meru 2C, Meru di sini petang tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu, hujan lebat diikuti angin kencang menerbangkan bumbung dan sengkuap rumah sebahagian besar penduduk di taman perumahan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Seorang penduduk, Siti Syahadah Mohamad Fauzi, 29, dia berasa cemas apabila mendapati hujan semakin lebat diikuti angin kencang sebelum melihat bumbung rumah jiran diterbangkan angin sejauh 30 meter.

Katanya, tambah membimbangkan lagi apabila terdapat percikan api pada tiang elektrik berhampiran rumahnya seperti dipanah petir.

“Hanya dalam tempoh lima minit, siling rumah ini runtuh dan keadaan di dalam rumah basah akibat air hujan. Ini kejadian terburuk yang saya alami sejak mendiami kawasan ini 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Zalina Mohd. Zin, 33, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga berada di Kuala Kangsar sebelum dimaklumkan jiran berkaitan kejadian itu.

Katanya, dia yang bergegas pulang terkejut apabila mendapati bumbung di bahagian dapur hilang diterbangkan angin.

“Bumbung di dapur hilang sepenuhnya dan keadaan rumah betul-betul ‘terang’. Saya tidak sangka kejadian ribut yang berlaku petang tadi seteruk ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru dibuka pada pukul 8 malam.

“Pembukaan pusat pemindahan itu setelah mendapati keadaan ketika ini masih belum selamat selain mangsa yang terlibat membabitkan penduduk di Taman Meru 2B dan 2C memerlukan tempat perlindungan sementara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya