KUANTAN: Pekan Sungai Lembing di sini boleh diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Warisan Dunia, Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohd Syahrin Abdullah berkata, usaha pendokumentasian tentang sejarah pekan Sungai Lembing sedang giat dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan aspek sebagai pembuktian fakta dan maklumat untuk ditonjolkan.
Beliau berkata, Sungai Lembing mempunyai potensi diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, tetapi ia memerlukan maklumat lengkap dan garapan sesuai bagi meyakinkan pertubuhan antarabangsa tersebut.
“Apa saya boleh katakan, ia masih dalam proses mengumpul maklumat dan apabila lengkap ia akan dihantar kepada pihak UNESCO,” katanya.
Setakat ini, UNESCO sudah mengiktiraf lima tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia iaitu, Taman Negara Mulu di Sarawak (2000), Taman Negara Kinabalu di Sabah (2000), Bandaraya Melaka di Melaka (2008), Georgetown, Pulau Pinang (2008) dan Lembah Lenggong, Perak (2012).
Sementara itu, bekas pekerja lombong di situ, Kamarudin Mat Taib, 69, berkata, dua aspek utama perlu dilihat iaitu soal pendapatan setempat dan kepelbagaian budaya.
“Dua aspek ini khususnya kewangan bagi pakcik cukup penting, kerana UNESCO takkan bagi Sungai Lembing duit, jadi kita di sini kena buktikan kewangan di sini khususnya penduduk setempat kukuh.
“Kita tidak boleh bandingkan Sungai Lembing dengan Melaka, Melaka berapa ramai pelancong berkunjung di situ dan dari sudut ekonomi penduduknya juga baik,” katanya ketika ditemui pada Program Pengkisahan Sejarah Sungai Lembing di Auditorium Arkib Negara Malaysia Pahang di sini semalam.
Berhubung aspek budaya pula, Kamarudin berkata, budaya di situ belum cukup kuat untuk mengangkat Sungai Lembing sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti mana Melaka.
“Soal perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di Sungai Lembing memang kita tak ada masalah, ia memang kukuh di sini sejak dulu. Tapi lain-lain budaya bagaimana? Ini penting untuk UNESCO, ia perlu diserlahkan,” katanya.
Soal layak atau tidak diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, beliau berkata, ia hanya dapat ditentukan oleh pertubuhan antarabangsa tersebut. -UTUSAN