Laman Perak Sejahtera Mardi tarikan baharu di Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Laman Perak Sejahtera Mardi tarikan baharu di Bagan Datuk

SAARANI Mohamad (empat dari kanan) pada perasmian Laman Perak Sejahtera Mardi di Sungai Sumun, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Laman Perak Sejahtera di Sungai Sumun di sini menjadi satu lagi daya tarikan baharu yang boleh dilawati kepada pengunjung yang datang ke daerah Bagan Datuk.

Kawasan berkenaan yang terletak dalam kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bagan Datuk itu mula dibuka kepada pengunjung mulai hari ini dengan kadar bayaran serendah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Antara tarikan di kawasan tersebut ialah demonstrasi pendebungaan berbantu bagi menghasilkan benih kelapa hibrid, inovasi penghasilan kelapa telur mengunakan ‘pisau tanduk’, penghasilan minyak kelapa dara (VCO) dan penghasilan Cocopeat dan Cocofiber.

Selain itu, terdapat jualan benih kelapa rendah (dwarf), laman ternakan yang menempatkan kambing baka biri-biri jenis ‘Barbados Blackbelly’ dan jualan benih kelapa hibrid.

Perkhidmatan trem untuk mengelilingi kawasan tersebut turut disediakan khususnya untuk pengunjung yang datang berkumpulan.

Kawasan tersebut yang dibangunkan dengan kos RM180,000 dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini.

Menurut Saarani, pengunjung akan didedahkan dengan produk-produk kelapa dan produk sampingan yang dihasilkan MARDI Bagan Datuk yang turut dikenali sebagai Taman Agroteknologi MARDI@Cocostourism.

“Laman Perak Sejahtera ini antara lain berperanan mengetengahkan industri kelapa yang cukup sinonim dengan Bagan Datuk.

“Ia memfokuskan perkembangan industri kelapa untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancong dan merupakan inisiatif bagi menjayakan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya pada sidang media selepas perasmian kawasan tersebut.

Menurutnya lagi, sesuai dengan peranan MARDI Bagan Datuk yang merupakan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kelapa, pembangunan Laman Perak Sejahtera itu juga akan menjadi lokasi tumpuan bagi aktiviti agropelancongan dan pembangunan bandar Maritim Wilayah Perak Selatan.

“Saya dimaklumkan pendekatan yang digunakan Taman Agroteknologi MARDI@Cocostourism ini berbeza dengan taman-taman agropelancongan lain yang terdapat di Malaysia.

“Ia kerana kawasan ini menggunakan pendekatan T.I.C.E.R iaitu Technology (T), Innovation (I), Conservation (C), Edutainment (E) dan Recreation (R) yang mengkhususkan kepada penyelidikan tanaman kelapa dan produk-produk berasaskan kelapa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya