KUALA KANGSAR: Penganugerahan pingat kebesaran daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi semangat buat atlet terjun negara, Muhd. Shafiq Puteh dalam memburu tiket ke Olimpik Paris 2024.
Beliau dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Nazrin pada hari kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini.
Muhd. Shafiq juga yang baru menerima kelahiran cahaya mata kedua, gembira dengan kurnian Sultan Perak itu sebagai menghargai pencapaiannya.
Atlet kelahiran Ipoh itu kini memberi fokus kepada kejohanan dunia yang akan berlangsung di Qatar pada Februari 2024 untuk berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik dunia bagi melayakkan diri ke Olimpik.
“Dengan menerima pingat ini saya akan terus berjuang. Tahun depan saya akan melalui pusingan kelayakan untuk ke Olimpik.
“Di sana saya akan beri prestasi lebih 100 peratus untuk dapatkan slot ke Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas istiadat yang diadakan di sini hari ini.
Beliau merupakan seorang daripada empat ahli sukan yang diperkenankan oleh Sultan Perak untuk menerima PJK selain atlet muaythai negara, Mohammad Rifdean Masdor.
Jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi serta pelari wanita, Shereen Samson Vallabouy yang tersenarai sebagai penerima pingat sama bagaimanapun tidak dapat hadir kerana perlu meneruskan program latihan dan urusan pengajian di luar negara.
Selain Muhammad Azeem dan Shereen, Muhd. Shafiq turut merangkul gangsa semasa Sukan Asia Hangzhou pada September hingga Oktober lalu.
Beliau menjangkakan pertandingan di Qatar itu nanti adalah sengit kerana akan bersaingan dengan 60 penerjun lain dan perlu menempatkan diri hingga ke peringkat separuh akhir bagi mencerahkan peluangnya berada di Paris pada Julai depan. – UTUSAN