PETALING JAYA: Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dikuatkuasakan terhadap kecuaian ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka tanpa pengawasan di dalam kereta kerana perbuatan itu memberi risiko keselamatan dan nyawa kanak-kanak sehingga terkorban.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr. Farah Nini Dusuki berkata, pihaknya memandang serius siri insiden kematian kanak-kanak sejak akhir-akhir ini kerana hipertermia setelah ditinggalkan tanpa pengawasan dalam kereta.
Ini apabila statistik menunjukkan bahawa kebanyakan kes kematian kanak-kanak dalam kereta berlaku kepada bayi berumur tiga tahun ke bawah.
Katanya, kebergantungan kepada kecanggihan ciri keselamatan kanak-kanak dalam kereta dilihat telah mengurangkan sifat waspada dalam diri dan mendorong ibu bapa menjadi lebih alpa.
“Pihak pendakwa raya digesa untuk bersama-sama mendidik masyarakat dan mengarusperdanakan isu ini dalam bidang kuasa mereka.
“Selain itu, ibu bapa diingatkan supaya sentiasa melakukan pemeriksaan rutin terhadap keselamatan serta keberadaan anak-anak dan tidak mengambil mudah mengenai isu keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, seorang kanak-kanak dua tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih tujuh jam ditinggalkan dalam kereta, di kawasan perumahan Ara Damansara.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd. Hamid, pihaknya menerima panggilan daripada wanita berusia 30-an yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri pada pukul 3.49 petang.
Dalam pada itu, Fara Dini berkata, usaha pencegahan harus diperluaskan lagi oleh semua pihak berkepentingan terutamanya Kementerian Pengangkutan dengan mengadakan kempen untuk memberi peringatan kepada ibu bapa dan orang ramai mengenai isu berkenaan.
Katanya selain itu, industri automotif dan mereka yang terlibat dengan penjagaan kanak-kanak termasuklah kedai barangan bayi digalakkan untuk turut tampil menangani isu ini dengan menyebar luas risiko kematian sebegini kepada rangkaian komersial bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelanggan mereka.
“Kebergantungan kepada kecanggihan ciri keselamatan kanak-kanak dalam kereta dilihat telah mengurangkan sifat waspada dalam diri dan mendorong ibu bapa menjadi lebih alpa. Walaupun penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang meluas dapat meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam kereta, hal ini telah menyumbang kepada peningkatan insiden kecuaian yang seharusnya boleh dielakkan ini.
“Hal ini disebabkan oleh kurangnya tindak balas mereka terhadap ancaman dan risiko. Ibu bapa diingatkan supaya tidak berasa terlalu selesa dan yakin bahawa tragedi yang sama tidak akan berlaku kepada mereka,” katanya. – UTUSAN