SUNGAI PETANI: Daerah Kuala Muda terus merekodkan kadar kemalangan maut tertinggi di negara ini bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata, berdasarkan statistik, daerah Kuala Muda bukan sahaja merekodkan kadar kemalangan maut tertinggi di Kedah, malah, turut berada di ranking nombor satu di Malaysia.
Jelas beliau, berdasarkan statistik terkini, pihaknya mendapati sebanyak 452 kes kemalangan maut direkodkan bermula Januari hingga September lalu di seluruh negeri ini dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 408 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 121 kes kemalangan maut yang direkodkan berlaku di daerah Kuala Muda berbanding sebanyak 108 kes pada tahun lalu.
“Selain daerah Kuala Muda, dua lagi daerah lain yang merekodkan kadar kemalangan maut tertinggi di negeri ini ialah daerah Kota Setar iaitu sebanyak 75 kes dan Kulim sebanyak 63 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Sambutan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia Peringkat Negeri, di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.
Katanya, justeru, semua pihak perlu memainkan peranan untuk membantu usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini terutamanya di lokasi-lokasi hotspot.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kedah, Supritendan, Abdel Nasser Salleh berkata, pihaknya mensasarkan penurunan kes kemalangan sebanyak 50 peratus pada tahun 2024.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan lebih daripada 95 peratus kes kemalangan adalah berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri manakala selebihnya adalah disebabkan faktor keadaan jalan, persekitaran, teknikal dan sebagainya.
“Justeru, bagi pihak penguat kuasa, kita sudah laksana pelbagai langkah termasuk melaksanakan program advokasi keselamatan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Namun begitu, pemandu itu sendiri perlu menjaga sikap mereka ketika sedang memandu kenderaan masing-masing,”ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga akan memberi fokus kepada tiga buah daerah yang merekodkan kadar kemalangan tertinggi di negeri ini pada tahun hadapan.
“Antara tindakan yang akan diambil ialah dengan menyita kenderaan-kenderaan yang dianggap tidak cukup sifat atau dilakukan pengubahsuaian pada struktur asal kenderaan.
“Selain itu, kita juga akan memberi penekanan bagi kes-kes kemalangan mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.-UTUSAN