KPT sedang memuktamadkan pengecualian yuran pengajian

KPT sedang memuktamadkan pengecualian yuran pengajian kepada pelajar Palestin

MOHAMED Khaled Nordin (tiga kiri) menerima sumbangan tabung kecemasan misi bantuan kemanusiaan Palestin pada Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memuktamadkan pengecualian yuran pengajian kepada pelajar Palestin yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rundingan sedang dilakukan bersama pihak IPTS memandangkan pengecualian yuran diberikan untuk pelajar Palestin yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurutnya, meskipun tiada sebarang paksaan dibuat berkaitan pengecualian yuran oleh IPTS, kebanyakan pihak universiti memberikan reaksi positif dan bersedia untuk membantu.

“KPT sedang memuktamadkan perkara itu terutamanya melibatkan IPTS yang bersedia untuk membantu dan bersama-sama bersimpati dengan keadaan yang menimpa Palestin.

“Bagaimanapun, tiada paksaan kepada pihak IPTS kerana kita tahu bahawa yuran yang dikenakan adalah sesuatu yang sangat penting bagi mereka. Saya percaya pihak IPTS sangat prihatin kerana setiap universiti memang ada tabung kebajikan dan sebahagian besarnya akan guna tabung kebajikan untuk menampung yuran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, KPT akan mengumumkan berapa bantuan bulanan yang akan diberikan kepada pelajar warganegara Palestin tidak lama lagi.

Media sebelum ini melaporkan, yuran pengajian bagi lebih 600 pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam di negara ini dikecualikan bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.

Mohamed Khaled berkata, KPT juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak IPTS bagi memberi pengecualian yuran kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka dalam tempoh sama.

Menurutnya, terdapat lebih 800 pelajar Palestin yang sedang menuntut di negara ini dengan lebih 200 pelajar di universiti swasta dan selebihnya sedang menuntut di pelbagai peringkat pengajian di universiti awam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya