KPT peruntuk RM15 juta perkenal sijil profesional bagi graduan menganggur

KPT peruntuk RM15 juta perkenal sijil profesional bagi graduan menganggur

MOHAMED Khaled Nordin diiringi tetamu kenamaan melancarkan buku meja kopi industri @POLYCC pada Majlis Penasihat Industri Politeknik 2023 (PIAC 2023) di Hotel Sama-sama Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan RM15 juta bagi memperkenal beberapa program sijil profesional khusus bagi graduan yang masih menganggur di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sijil profesional itu penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan berkenaan sekali gus membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan

Beliau berkata, sijil profesional itu termasuk berkaitan kemahiran komputer, teknologi maklumat dan sistem pengurusan data.

“KPT akan menawarkan pinjaman kepada graduan tersebut bagi mengikuti sijil profesional berkenaan. Ini antara usaha yang kita lakukan bagi meningkatkan kemahiran mereka,” katanya dalam  sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik 2023 (PIAC 2023) di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, KPT akan memastikan program pengajian yang ditawarkan di setiap universiti mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.

Beliau berkata, KPT kini telah membangunkan sistem data yang boleh mendapatkan maklumat dengan jelas mengenai program pengajian yang kebolehpasarannya rendah.

“Kami akan pastikan subjek elektif yang mereka ambil di universiti itu berkait dengan kemahiran seperti sains komputer dan sebagainya.

“Dengan keupayaan kita baca data, ia berupaya untuk kami melakukan penambahbaikan dari segi program pengajian yang ditawarkan di unversiti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 29,000 atau 9.8 peratus daripada 295,962 graduan pada 2022 di negara ini belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian tahun lepas.

Perkara itu didedahkan Mohamed Khaled ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Menurutnya, jumlah graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2021 adalah seramai 41,467 atau 14.5 peratus daripada 286,299 graduan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN