KPM arah kawalan keselamatan di institusi pendidikan diperketat - Utusan Malaysia

KPM arah kawalan keselamatan di institusi pendidikan diperketat

LIM Hui Ying (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Pengetua SMKA (P) Almashoor, Rosnah Othman pada Majlis Anugerah Cemerlang Sesi 2023/2024 di Goerge Town, Pulau Pinang, hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan kawalan keselamatan di semua institusi pendidikan di negara ini dipertingkatkan susulan ancaman bom palsu yang diterima sejak Selasa lepas.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, keselamatan warga sekolah terutama pelajar dan guru-guru sentiasa menjadi keutamaan, malah KPM sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.

Katanya, sebanyak 51 laporan kes berhubung ancaman bom diterima setakat ini membabitkan sekolah di beberapa negeri.

“Kita ada garis panduan keselamatan dan setakat ini, semua sekolah telah dimaklumkan untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan serta laporkan kepada pihak polis sekiranya ternampak orang yang tidak dikenali atau situasi yang mencurigakan.

“Selain itu, kita turut memahami kebimbangan ibu bapa, namun saya jamin KPM dan PDRM mengutamakan keselamatan anak-anak mereka yang berada di sekolah.

“Saya amat berharap tindakan (ancaman palsu) ini dapat dihentikan bagi mengelakkan ketakutan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sesi 2023/2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) AlMashoor, di sini.hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memaklumkan, PDRM masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif hantaran e-emel ancaman itu dibuat, namun menolak ia ada kaitan dengan pendirian negara dalam isu Palestin.

Katanya, daripada 51 laporan yang diterima, 18 daripadanya membabitkan sekolah di Selangor; Kuala Lumpur (7); Johor (6); Negeri Sembilan (3); Pulau Pinang (4); Sarawak (5); Perak (3); Sabah (2) dan Kedah (3).

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya