JOHOR BAHRU: Penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, KPJ Healthcare Bhd. bakal menjadi hospital swasta pertama yang menggunakan tenaga solar dalam mengupayakan operasi di kesemua hospitalnya.
Bagi mencapai hasrat itu, KPJ Healthcare hari ini menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX), untuk menjana penggunaan tenaga solar.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, langkah strategik ini yang diperkukuh dalam Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) selama 20 tahun menandakan keazaman kumpulan itu mempromosikan tenaga boleh diperbaharui seterusnya mengurangkan jejak karbonnya.
Katanya, menerusi perjanjian itu, fasa pertama pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) itu melibatkan lima Hospital Pakar KPJ terpilih iaitu KPJ Bandar Dato’ Onn, KPJ Johor, KPJ Kluang, di Johor; KPJ Seremban, Negeri Sembilan dan KPJ Rawang, Selangor.
“Kerjasama strategik tenaga solar kami merupakan satu langkah penting ke arah penggunaan tenaga yang lebih bersih dan mengurangkan kesan alam sekitar kami.
“Fasa pertama akan menyaksikan pemasangan sistem PV solar atas bumbung di lima Hospital Pakar KPJ, dan kami merancang untuk meluaskan penggunaan tenaga solar ini ke Hospital Pakar KPJ kami yang lain menjelang suku ketiga 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis menandatangani Perjanjian Bersama TNB dan GSPARX di KPJ Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri.
Keat Chyuan berkata, inisiatif ini menyokong usaha kerajaan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan sejajar dengan keperluan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan alam sekitar dalam sektor penjagaan kesihatan.
Katanya, langkah KPJ Healthcare ke arah tenaga boleh diperbaharui merupakan satu usaha Kumpulan untuk mengurangkan jejak karbon dan memperkukuh misi kelestarian operasinya.
“Sebagai sebuah entiti yang beroperasi 24/7, hospital sememangnya mempunyai penggunaan tenaga yang tinggi. Kami menyasarkan 10 peratus daripada penggunaan tenaga kami daripada sumber boleh diperbaharui dan mengurangkan 25 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2025.
“Peralihan kepada tenaga suria ini yang tidak memerlukan pelaburan awal, dijangka akan mengurangkan kos elektrik kami. Penjimatan ini akan disalurkan semula untuk penambahbaikan penjagaan pesakit dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kami,” tambahnya.