IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memperkasa dan memperkemaskan lagi kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara termasuk lokasi strategik yang berisiko menjadi sasaran, susulan kelantangan negara dalam isu Palestin.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis juga akan mempertingkatkan lagi risikan melalui Cawangan Khas bagi melindungi mana-mana pihak yang kemungkinan dijadikan sasaran pihak tertentu.
“Kawalan juga akan dipertingkatkan terhadap sasaran (lokasi) penting termasuk penglibatan warga asing yang ada di sini yang berkemungkinan menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di Palestin.
“Kita beri jaminan bahawa kita sentiasa mempertingkatkan kawalan dan pengumpulan risikan bagi membolehkan tindakan susulan diambil sekiranya ada sebarang cubaan pihak tertentu untuk melanggar undang-undang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) 69 Komando ke-54 di Padang Kawad Kem Sultan Nazrin Shah Ulu Kinta di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dan Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim.
Mengulas lanjut beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang atau gusar berhubung soal keselamatan negara terutama membabitkan ancaman jenayah dalam isu Palestin dan Israel.
“Setakat ini, ‘track record’ (dalam isu ancaman) yang kita ada apabila dapat mengesan awal tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Malah, dalam konteks kumpulan militan IS, sebanyak 26 cubaan melancarkan serangan dapat dipatahkan pasukan polis dalam tempoh 2013 hingga 2020.
“Jadi, rakyat tidak perlu gusar dan takut. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Isu keselamatan serahkan kepada pihak polis dan kita akan ambil langkah yang sesuai,” katanya. – UTUSAN