Kon Yeow fokus beri perkhidmatan kepada rakyat dan parti, elak main politik  - Utusan Malaysia

Kon Yeow fokus beri perkhidmatan kepada rakyat dan parti, elak main politik 

CHOW Kon Yeow ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan beliau fokus untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat parti dan rakyat serta mengelak untuk bermain politik yang keterlaluan sepanjang 37 tahun menjadi ahli DAP.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau juga seorang yang jujur serta setia pada perjuangan parti DAP yang dianggotai sejak 1986 itu.

”Saya diberi kepercayaan untuk memimpin kerajaan negeri buat penggal kedua ini, saya rasa kepercayaan ini mungkin berlandaskan kepada ‘track rekod’ saya sejak 1986.

“Saya telah genap 37 tahun menjadi ahli parti dan memang diberi banyak peluang berkhidmat kepada rakyat dan parti sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

“Saya percaya inilah kekuatan yang ada pada saya, saya jujur, setia kepada perjuangan, suka tawarkan perkhidmatan terbaik, tidak suka bercakap banyak, tidak mahu main politik kuat dan fokus kepada penyampaian prestasi yang baik,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sebagai manusia biasa tidak ada orang yang sempurna dan sudah tentu setiap orang mempunyai kelemahan termasuk beliau sendiri.

“Maka, kita perlu balik kepada perjuangan parti, terima nasihat, sokongan dan galakan daripada rakan pasukan demi pastikan prinsip perjuangan parti diteruskan.

”Sebab itu pentingnya sokongan ahli parti dan pengundi kerana mereka yang akan tentukan masa depan parti serta kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 94 peratus manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah berjaya dicapai dan fokus kali ini adalah untuk melaksanakan manifesto PRU-15 supaya menjadi kesinambungan kepada kecemerlangan kerajaan negeri.

”Pentadbiran kerajaan negeri masih kekal untuk menjayakan misi ‘Penang2030’ dan kita berharap pasukan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan bersama-sama memainkan peranan bagi merealisasikan misi ini.

“Semua pihak termasuk ahli parti serta kepimpinan parti juga perlu memikul tanggungjawab demi memastikan kita kekal relevan sebagai parti pemerintah di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang akan genap 100 hari dalam tempoh tiga hari lagi dan sepanjang tempoh itu, perhatian dan tenaga diberikan kepada pembentukan kerajaan negeri, pelantikan ahli majlis dan sebagainya.

“Sehingga kini juga kita masih uruskan pelantikan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) di seluruh negeri dan kita perlu sempurnakan perkara ini bagi membolehkan kita menuju ke depan,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya