SEKALI pandang nampak macam kediaman ala-ala zaman 80-an, sungguh klasik.
Pepohon hijau yang merimbun di sekitar kediaman dipadankan pula dengan elemen kayu memercikkan suasana alami dan tenang.
Pemilik kediaman, Nurhadzlena Mohd. Hadzir berkata, kediaman jenis teres dua tingkat itu ditatarias tanpa sebarang konsep atau tema spesifik.
Sebaliknya, ia disusun atur menggunakan barang-barang terpakai yang menjadi kegemarannya sahaja.
Semuanya terjadi dengan konsep go with the flow. Ia dihiasi dengan menggunakan koleksi barangan terpakai kegemaran saya yang juga dikenali sebagai cluttercore.
“Hiasan dalaman ini terhasil daripada kombinasi barangan dan perabot lama yang masih kukuh dan tidak lapuk dek zaman,” katanya kepada Seri.
Keindahan hiasan bagaikan taman rimba mini itu juga hasil daripada gabungan unsur semula jadi seperti pokok, barangan rotan, kayu dan mozek yang diserlahkan lagi dengan sinaran cahaya matahari.
Bagi menaikkan lagi seri kediaman keluarganya itu, beliau turut menggunakan pendekatan organik. Pilihan barangan juga adalah yang praktikal dan mudah alih.
“Saya mengalihkan barangan sepanjang masa untuk memenuhi keperluan semasa. Saya tidak percaya untuk menambah (barangan).
“Saya menyelesaikan masalah penyimpanan dengan menukar item dari bilik ke bilik,” katanya.
ELEMEN PELENGKAP
Elemen pelengkap bagi hiasan dalaman adalah barangan berasaskan kayu, warna neutral dan banyak elemen semula jadi.
“Kerana rumah yang saya duduki ini adalah rumah lama, lantai, dinding, tingkap semua memainkan peranan besar yang menjadikan rumah ini.
“Pokok dan konsep taman indoor pun memainkan peranan yang besar,” ujarnya lagi.
Berkongsi tips dekorasi, katanya, penting untuk menatarias rumah dengan barangan dan hiasan yang disukai dan bukan semata-mata kerana gaya.
“Saya juga mencadangkan agar dinding dan rak diisi dengan karya seni terutamanya daripada artis-artis tempatan.
“Barangan seni dan vintaj juga boleh menambah keperibadian pada ruang dan mengekspresikan anda dengan lebih baik,” kongsinya lagi.