KKR sedang teliti tuntutan pampasan tol percuma oleh 18 konsesi - Utusan Malaysia

KKR sedang teliti tuntutan pampasan tol percuma oleh 18 konsesi

Tuntutan tol
ALEXANDER Nanta Linggi merasmikan pembukaan Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, WCE di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang memperhalusi tuntutan 18 syarikat konsesi yang menguruskan 33 lebuh raya supaya memberi pampasan tunai dan bukan rebat cukai bagi sembilan hari yang diwartakan sebagai hari tol percuma setiap tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perbincangan dan rundingan sememangnya sudah dibuat dengan pihak terlibat sebelum ini.

“Namun, ia melibatkan tuntutan dan kita masih sedang memperhalusinya secara lebih terperinci.

“Perkara itu perlu diperhalusi dengan pihak atasan dan agensi lain termasuk Kementerian Kewangan,” katanya selepas merasmikan pembukaan laluan Seksyen 6, persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini, hari ini.

Kerajaan semalam dilaporkan bertemu wakil pemegang konsesi untuk membincangkan mekanisme pampasan, namun tiada keputusan dibuat setakat ini.

Sembilan hari tol percuma itu adalah dua hari bagi Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas manakal satu hari untuk Hari Kebangsaan sementara syarikat-syarikat berkenaan dimaklumkan secara lisan bahawa tol percuma diwartakan.

Sementara itu, Alexander Nanta memberitahu, laluan Seksyen 6 Lebuhraya WCE berkenaan dibuka secara rasmi kepada lebih 60,000 pengguna lebuh raya bermula pukul 12.01 tengah malam ini.

“Pengecualian tol bagi laluan sepanjang 21.8 kilometer (km) itu turut diberikan selama lebih sebulan sehingga pukul 11.59 malam, 2 Januari 2024.

“Bagi pengguna yang memasuki WCE dari Seksyen 5 iaitu dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Selatan ke Plaza Tol Assam Jawa atau arah sebaliknya, merema akan dikenakan kadar tol sedia ada mengikut jenis kelas kenderaan masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, pembukaan laluan itu dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar, Klang ke Assam Jawa, Ijok yang dijangka mengambil masa hanya 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini.

“Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan dua negeri iaitu Selangor dan Perak.

“Ia melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, 

Kuala Selangor, Tanjong Karang dan seterusnya menyambung jajarannya di Hutan Melintang, Teluk Intan, Seri Manjung, Beruas sehingga ke Taiping,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya